Covid-19: Brazil catat lonjakan kes harian

Covid-19: Brazil catat lonjakan kes harian
Anggota perubatan memeriksa penumpang sebuah kereta jika mereka mengalami gejala Covid-19 di Sao Paulo tahun lepas. (Gambar AP)

BUENOS AIRES: Brazil pada Khamis melaporkan lebih 100,000 kes baharu Covid-19 buat pertama kali sejak penularan pandemik itu di negara itu, lapor Agensi Anadolu, memetik Kementerian Kesihatan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 2,777 orang meninggal dunia dan 100,158 kes baharu didaftarkan.

Jumlah kes melepasi 12.32 juta, termasuk 303,462 kematian dan lebih 10.77 juta pemulihan.

Brazil dengan jumlah penduduk melebihi 210 juta, adalah negara paling teruk terjejas, selepas Amerika Syarikat.

Beberapa minggu lalu, Brazil menghadapi kesukaran berikutan jumlah pesakit di unit rawatan rapi dan penularan P1, jenis Covid-19 yang lebih mudah tersebar, dikatakan berasal dari Amazon.

Sejak Disember 2019, wabak ini telah meragut lebih 2.74 juta nyawa di 191 negara dan wilayah.

Menurut Universiti John Hopkins, lebih 124.95 juta kes telah dilaporkan di seluruh dunia, dengan pemulihan terkini melebihi 70.88 juta.