Buffet Ramadan: Menu kampung asli di Restoran Rasa Lama

 

SUBANG – Kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan dan seperti biasa hotel dan restoran mula mempromosikan buffet berbuka puasa.

Selain menjamu juadah ia merupakan salah satu cara untuk meluangkan masa dengan keluarga.

Restoran Rasa Lama juga tidak mahu ketinggalan dengan menawarkan buffet Ramadan dengan konsep menu kampung asli.

Terletak di Jalan SS 15/7, SS 15, 47500 Subang Jaya, Selangor, restoran itu berhasrat untuk mengembalikan nostalgia berbuka bersama keluarga.

Salah seorang pemilik restoran, Ernaz Niknam Moghaddam berkata, konsep yang dibawa Restoran Rasa Lama adalah makanan tradisional yang dibawa dari kampung-kampung.

“Kami tahu sekarang kita tidak boleh merentas negeri untuk balik ke kampung, jadi kami bawakan kampung anda semua di sini.

“Kita bawa kembali nostalgia berbuka puasa di kampung ke bandar.  Signature menu kita adalah Nasi Hujan Panas, dengan sambal-sambal yang terkenal dan pelbagai seperti sambal mangga, sambal hitam, kita juga ada sambal sotong dan ulam-ulaman serta gabungan barat dengan salad dan kambing bakar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pemilik Restoran Rasa Lama, Ernaz Niknam Moghaddam ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai tawaran bufet Ramadan di Restoran Rasa Lama, Subang Jaya. Foto FIKRI YAZID, 25 MAC 2021.

Menyedari sukarnya pelbagai perniagaan bertahan pada waktu penularan Covid-19, ujar Ernaz, Rasa Lama menjual baucer buffet Ramadan dua minggu lebih awal sebagai strategi pemasarannya.

Pada masa sama,  pengurusan restoran turut menggunakan laman sosial untuk membuat hebahan.

“Jadi daripada situ, kita jangkakan akan ada pelanggan yang akan datang dengan baucer yang kita jual awal itu dengan harga lebih rendah.

“Harga jualan vaucer adalah RM108.90 untuk dua orang. Harga biasa seorang adalah RM69 dan kanak-kanak RM35,” katanya.

Tambah Ernaz, selain memastikan pasukan chef berpengalaman menyediakan pelbagai menu kampung, restoran itu juga menjamin pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipraktikkan, bermula pelanggan melangkah masuk sehingga mereka meninggalkan premis.

Ujarnya, SOP adalah norma baharu yang perlu diutamakan meskipun selain memastikan pelanggan berpuas hati dengan makanan dan layanan.

Antara hidangan makanan yang terdapat pada tawaran bufet Ramadan di Restoran Rasa Lama, Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2021.

“Pelaksanaan SOP bagi Restoran Rasa Lama, kita sediakan sarung tangan kepada semua pelanggan dan penjarakan sosial, termasuklah SOP yang lain.

“Yang penting bagi saya adalah kebersihan makanan dan cara pelanggan yang datang juga untuk kekalkan kebersihan,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap Restoran Rasa Lama akan menerima sambutan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum pada bulan Ramadan. – MalaysiaGazette