Marshall lancar Bromley 450! Speaker parti mudah alih dengan audio 360°, bateri tahan lebih 40 jam

Marshall lancar Bromley 450! Speaker parti mudah alih dengan audio 360°, bateri tahan lebih 40 jam

Marshall terus memperluaskan rangkaian speaker parti mereka dengan pelancaran Bromley 450, model lebih kompak yang mewarisi rekaan ikonik jenama itu seperti model lebih besar, Bromley 750.

Menerusi satu kenyataan, Marshall berkata, speaker mudah alih ini hadir dengan teknologi True Stereophonic 360° yang menghasilkan bunyi menyeluruh dari setiap sudut ruang.

Pengurus Produk Kumpulan Marshall, Hanna Wallner berkata, syarikat itu terus mengembangkan rangkaian speaker parti selepas memperkenalkan model pertama mereka tahun lalu.

“Tahun lalu kami memperkenalkan speaker parti pertama kami, dan kami teruja untuk terus mengembangkan rangkaian ini seawal musim ini.
“Bromley 450 merupakan kesinambungan semula jadi kepada Bromley 750, sebagai versi lebih kompak dalam keluarga yang sama.
“Walaupun lebih kecil dan pada harga lebih berpatutan, ia masih dilengkapi ciri-ciri hebat seperti bunyi yang memenuhi setiap sudut ruang, pencahayaan berinspirasikan pentas serta rekaan ikonik Marshall,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Audio dan Akustik Marshall Group, Malcolm Kennedy berkata, Bromley 450 mengekalkan karakter bunyi khas jenama tersebut.

“Dengan Bromley 450, kami mahu mengekalkan segala kelebihan yang ada pada Bromley 750, tetapi dalam bentuk lebih kompak.
“Ia masih menawarkan bunyi khas Marshall dengan bass yang padu dan responsif, mid yang jelas serta high yang terperinci.
“Melalui reka bentuk unik 360° True Stereophonic kami, speaker ini sentiasa mampu menjadi tumpuan utama sambil mengekalkan kedalaman dan suasana muzik kegemaran anda,” ujarnya.

Sementara itu, ia turut menawarkan jangka hayat bateri melebihi 40 jam, selain dilengkapi lampu pentas terbina dalam yang menjadikan setiap ruang hiburan terasa seperti pentas persembahan.

Direka dengan perhatian kepada setiap perincian, Bromley 450 menampilkan kawalan sentuhan fizikal yang memberikan pengalaman penggunaan lebih intuitif.

Binaannya juga kukuh bagi memastikan ia mampu bertahan dalam suasana bising, penggunaan intensif serta sesi hiburan yang berpanjangan.

Speaker ini menggunakan kemasan kulit PU berasaskan air yang membaluti struktur premium, diperkemaskan dengan pelindung sudut plastik TPU bagi meningkatkan ketahanan.

Malah, gril logam bercop pula melindungi sistem pencahayaan yang diinspirasikan daripada pentas muzik era 1970-an.

Sama ada digunakan di ruang tamu atau acara, Bromley 450 bukan sahaja menawarkan prestasi audio yang mantap tetapi tampil dengan gaya tersendiri yang menjadikannya antara speaker Bluetooth yang mencuri perhatian dalam apa jua suasana.

Speaker mudah alih ini juga tahan percikan air dan habuk, menjadikannya sesuai digunakan di dalam mahupun luar bangunan tanpa menjejaskan kualiti bunyi.

Saiznya yang praktikal memudahkan ia dibawa ke mana sahaja, sekali gus menjadikannya teman hiburan yang fleksibel untuk pelbagai acara.

Selain itu, Bromley 450 menggunakan bateri boleh ditukar ganti yang sama seperti Bromley 750, membolehkan sesi hiburan berlanjutan lebih lama.

Ia turut dilengkapi dua port kombo untuk sambungan mikrofon dan instrumen, sesuai untuk pelbagai acara bersama rakan-rakan.

Bromley 450 kini boleh didapati di laman rasmi Marshall pada harga RM3,699 dan sudah tersedia di Harvey Norman, Thunder Match serta Urban Republic bermula 31 Mac lalu.

Scroll to Top