New York: Legenda tenis dunia, Martina Navratilova menjadi antara individu yang tidak dapat menyembunyikan rasa geli hati selepas Belgium mengejek Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan penyingkiran tuan rumah bersama itu daripada Piala Dunia.
Martina berkongsi semula rakaman di media sosial yang memaparkan pemain Belgium meniru gerakan tarian ikonik Trump selepas kemenangan bergaya 4-1 ke atas AS pada aksi pusingan 16 terbaik di Seattle, sambil menulis bahawa beliau ‘tidak boleh berhenti ketawa’.
Aksi sindiran itu berlaku hanya sehari selepas kontroversi membabitkan campur tangan Trump yang menghubungi Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, bagi meminta semakan terhadap kad merah penyerang AS, Folarin Balogun.
FIFA kemudian menggantung hukuman penggantungan satu perlawanan Balogun, sekali gus membolehkannya beraksi menentang Belgium, namun keputusan itu mencetuskan kritikan hebat dan dakwaan campur tangan politik dalam bola sepak.
Belgium akhirnya membalas segala kontroversi itu di atas padang apabila membelasah AS 4-1 sebelum meraikan kemenangan dengan meniru gaya tarian Trump, yang pantas menjadi tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




