
Mohd Firdaus. Foto Dewan Pemuda Pas Kelantan
KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Kelantan mendakwa bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad gagal memahami isyarat politik besar yang sedang berlaku dalam blok pembangkang ketika ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pengumuman pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang bukan sekadar pengumuman biasa, sebaliknya membawa mesej politik yang lebih besar terhadap kedudukan parti dalam blok pembangkang.
“Pengumuman Presiden Pas meletakkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ketika konvensyen Reset bukan sekadar pengumuman biasa, tetapi satu pukulan ‘K.O’ kepada Bersatu sendiri.
“Ia memberi mesej jelas bahawa Pas masih menjadi kuasa utama yang menentukan arah politik pembangkang manakala Bersatu pula semakin hilang nilai dan pengaruh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Marzuki dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertindak seperti ‘Supreme Leader ‘dalam Perikatan Nasional (PN) susulan dua keputusan penting diumumkan pada Sabtu.
Pengumuman melibatkan keputusan melantik semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan penggunaan logo PN oleh parti Hamzah, Parti Wawasan Negara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.
Marzuki mendakwa keputusan itu tidak dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
Mohd Firdaus berkata, sebahagian pimpinan Bersatu kini juga lebih cenderung menyerang Pas dan presidennya berbanding memperkukuh hubungan dalam blok pembangkang.
“Mereka menjangka apabila hubungan Pas dan Bersatu mula retak, Pas akan lemah. Namun hakikatnya Pas terus bergerak dengan kekuatan sendiri,” katanya.
Mengulas kehadiran beberapa pemimpin parti komponen PN dalam konvensyen Reset pada Sabtu, beliau berkata, ia menunjukkan masih wujud tarikan terhadap Pas dalam kalangan parti gabungan.
“Mereka gagal memahami makna kehadiran tiga daripada empat parti komponen PN di pentas Reset.
“Presiden Gerakan sudah ada, Presiden MIPP juga sudah bersama. Ini menunjukkan siapa sebenarnya yang masih mempunyai tarikan dan siapa yang semakin terpinggir.
“Saya tidak pasti sama ada orang kanan Muhyiddin ini gagal membaca angin perubahan politik ataupun masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa partinya semakin tenggelam akibat sikap sebahagian besar pimpinan mereka yang terlalu ‘berkhayal’ dengan permainan politik sendiri tanpa melihat realiti akar umbi,” katanya.



