bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Masa khutbah dan solat Jumaat di Sabah dipendekkan masing-masing kepada maksimum 10 dan tujuh minit, bermula hari ini, bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.
Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) sebagai panduan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata azan Jumaat akan dikumandangkan mengikut waktu zohor.
Beliau berkata, selepas azan pertama dan solat sunat Qobliah, azan kedua akan terus dilaungkan dengan tempoh lebih pendek berbanding yang pertama.
“Khatib akan memendekkan bacaan khutbah pertama dan kedua membabitkan maksimum 10 minit seperti yang disediakan JHEAINS. Hanya penggunaan teks khutbah JHEAINS atau yang mendapat pengiktirafan dibenarkan.
“Solat Jumaat pula ditunaikan dalam tempoh maksimum tujuh minit. Imam membaca surah atau ayat pendek dan doa Qunut Nazilah.
“Selepas imam memberi salam, hanya wirid dan doa ringkas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Masidi berkata, jika ada jemaah disyaki atau disahkan positif COVID-19, masjid atau surau terbabit perlu melaksanakan proses sanitasi penuh, manakala jemaah lain diminta menjalani ujian saringan mengikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, jumlah jemaah dibenarkan hadir di masjid atau surau pula dikekalkan mengikut kapasiti selepas mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.
Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak, golongan berisiko, bergejala dan masih dalam pemantauan atau siasatan COVID-19 adalah dilarang hadir.
Selain itu, jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri, digalakkan berwuduk dari rumah serta perlu mematuhi semua SOP ditetapkan di masjid dan surau, termasuk merekodkan kehadiran serta memeriksa suhu badan.
Arahan menggunakan sejadah dan telekung sendiri turut diwajibkan di bilik sembahyang semua premis perniagaan di negeri ini.
Mengenai perkembangan semasa COVID-19 di Sabah, Masidi berkata, satu lagi kluster berkaitan sambutan Aidilfitri direkodkan di Sabah, semalam.
Katanya, Kluster Desa Ranggu di Tawau itu membabitkan kes indeks seorang wanita berumur 53 tahun yang sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 yang masing-masing disuntik pada 6 Mac dan 17 Mac lalu.
Beliau berkata, wanita itu dipercayai dijangkiti COVID-19 daripada seorang kontak sosial yang datang meraikan Aidilfitri di rumahnya pada 13 Mei lalu.
“Kes indeks mengalami gejala sejak 15 Mei lalu sebelum disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei hasil saringan bergejala.
“Susulan itu, saringan kontak rapat dan kontak sosial mengesan 17 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatifnya 18 kes.
“Berdasarkan hasil siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang ke rumahnya untuk beraya pada 13 Mei lalu.
“Kontak sosial terbabit ada rekod pergerakan ke tiga rumah di Taman Desa Ranggu dan rumah mentua di Kampung Jawa, Tawau, sebelum dikesan positif pada 22 Mei lalu,” katanya.
Secara keseluruhan, Sabah mencatat 217 kes baharu positif COVID-19, semalam, dengan satu kematian dilaporkan di Kunak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




