RAMAI yang berminat dan mahu menjadi penulis. Tetapi tidak ramai benar-benar bersedia menghadapi proses dan cabaran untuk menjadi penulis. Mereka menyangka menulis hanya soal bakat, bahasa atau idea.
Padahal dalam banyak keadaan, cabaran terbesar seorang penulis, khususnya pemula, adalah keyakinan terhadap dirinya sendiri.
Demikianlah kesan yang dapat saya dapat disimpulkan selepas satu pertukaran pesan ringkas di media sosial dengan seorang yang mengaku sudah pun mulai menulis namun masih berasa kurang yakin dengan kebolehan menulisnya sendiri.
Membaca keluhan teman muda ini, saya cuba meletakkan diri saya kembali ke masa lalu dan menghimbau semula ‘kepayahan’ yang pernah saya alami dan ingin berkongsi pengalaman kecil saya menghadapi dengannya.
Meletakkan diri kembali ke masa lalu, saya akui setiap kali selepas menghasilkan sesebuah karya, persoalan apakah yang saya tulis itu memang benar-benar layak dan boleh diterima sebagai sebuah karya selalu mengganggu fikiran sendiri.
Apa lagi setelah dikirim ke akhbar atau majalah, karya tersebut tidak terpilih dan disiarkan. Semakinlah diri sendiri berasa kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Namun kerana tidak mudah berasa putus asa, berusaha terus berkarya, membaca karya penulis yang bagus dan tersiar, belajar daripada tulisan mereka dan pelbagai buku teori serta petunjuk, akhirnya kejayaan menjelma juga.
Akhirnya pengalaman mengajar betapa keyakinan itu tidak datang daripada orang lain. Ia tidak boleh dipinta daripada editor, pembaca atau rakan-rakan penulis. Keyakinan adalah sesuatu yang perlu dibina sendiri dari dalam diri melalui pengalaman, latihan dan ketahanan jiwa sendiri.
Tanpa niat menggurui siapa pun teman penulis pemula, saya percaya untuk menulis dan menjadi penulis, seseorang memerlukan mental yang kuat dan mampu bertahan lama.
Dunia penulisan bukan dunia yang sentiasa dipenuhi pujian. Ada penolakan, ada kesunyian dan ada waktu-waktu kecewa yang memerlukan seseorang itu terus berdiri walaupun tidak dipedulikan.
Ramai pemula gagal bukan kerana tidak berbakat, tetapi kerana terlalu cepat putus asa. Sekali karya ditolak, mereka terus menganggap diri tidak layak menjadi penulis. Sekali tulisan tidak disiarkan, mereka mula meragui kemampuan sendiri.
Sedangkan penolakan adalah perkara biasa dalam dunia penulisan. Hampir semua penulis pernah melaluinya. Ada karya yang tidak sesuai dengan kehendak editor. Ada tulisan yang belum cukup matang. Ada juga karya yang baik tetapi tidak memperoleh ruang penerbitan. Semua itu sebahagian daripada proses.
Malangnya, ramai pemula terlalu berharap kepada pengiktirafan luar. Mereka menunggu pujian untuk terus menulis. Mereka mahu karya segera disiarkan sebelum percaya kepada kemampuan sendiri. Akibatnya mereka mudah kecewa apabila harapan itu tidak berlaku seperti yang diinginkan.
Hakikatnya, tugas penulis hanyalah menulis dan terus menghantar karya ke media. Jika karya tidak terpilih, penulis tetap perlu terus menulis. Tidak perlu terlalu berharap atau menunggu semata-mata untuk disiarkan.
Dalam dunia penulisan, ketahanan jauh lebih penting daripada minat yang bersifat sementara. Minat boleh datang dan pergi, tetapi ketahanan membuatkan seseorang terus berkarya walaupun sering dilanda kecewa dan bosan menunggu.
Kembali mengenang masa lalu, peringkat permulaan dahulu saya juga takut melakukan kesalahan. Mahu tulisan pertama terus sempurna dan berharap diterima orang. Ternyata sikap seperti ini sebenarnya menghalang proses belajar.
Hakikatnya, tidak ada penulis yang lahir terus mahir. Semua penulis pernah menghasilkan tulisan yang lemah di segi bahasa, teknik dan pemikiran. Bezanya hanya ada orang terus belajar dan ada pula yang cepat menyerah.
Menulis sebenarnya proses membina diri. Dalam proses itu seseorang belajar menjadi lebih sabar, tekun dan lebih matang menghadapi dugaan kehidupan. Penulis yang tahan diuji biasanya memiliki disiplin. Dia tetap menulis walaupun malas, tetap membaca walaupun sibuk dan tetap menghantar karya walaupun pernah ditolak berkali-kali.
Selain itu, seorang pemula perlu mengelak terlalu membandingkan diri dengan orang lain. Media sosial hari ini menyebabkan ramai mudah merasa rendah diri apabila melihat penulis lain mendapat perhatian atau pujian. Padahal setiap penulis mempunyai perjalanan berbeza.
Sebab itu, penulis perlu menghargai dan berusaha menjadi dirinya sendiri. Dia perlu tahu mengapa dia menulis. Jika dia sendiri tidak memahami itu, dia akan mudah dipengaruhi oleh pujian palsu dan kecaman negatif.
Penulis yang terlalu berharap kepada perakuan pihak lain akan mudah kecewa dan patah. Sebaliknya, penulis yang benar-benar yakin kepada kerja menulisnya akan terus berkarya walaupun tidak dipuji atau dikenali.
Keberanian menjadi diri sendiri amat penting. Pemula boleh belajar daripada penulis lain, tetapi tidak perlu melenyapkan suara sendiri. Keaslian seorang penulis lahir daripada pengalaman hidup dan cara dia melihat dunia. Tulisan yang sederhana tetapi jujur lebih memberi kesan daripada tulisan yang terlalu dibuat-buat untuk kelihatan hebat.
Akhirnya seorang penulis perlu memahami menulis adalah perjalanan yang panjang dan sunyi. Ia memerlukan kesabaran, disiplin dan kekuatan jiwa. Kesunyian itu sendiri sebenarnya mendidik seorang penulis menjadi lebih tahan dan matang.
Kerana itu saya percaya keyakinan bagi seorang penulis tidak boleh dipinjam daripada orang lain. Ia mesti dibina sendiri sedikit demi sedikit melalui latihan, pengalaman dan keberanian menghadapi kegagalan.
Orang lain mungkin boleh memberi semangat, tetapi akhirnya yang menentukan sama ada seseorang itu akan terus menulis atau berhenti adalah dirinya sendiri. Dalam dunia penulisan, orang yang benar-benar berjaya biasanya bukan orang yang paling cepat mendapat nama, tetapi paling lama mampu bertahan dan terus menerus berkarya.-UTUSAN



