Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri tidak menjangkakan kejayaannya dalam mengenggam trofi vokal terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.
Meskipun suaranya masih belum pulih selepas dijangkiri laryngitis, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, ini bagaimanapun menzahirkan rasa syukur serta memandang kemenangan tersebut pembuka tirai 2025 yang terindah.
“Saya tak jangka akan menang Vokal Terbaik. Masih speechless… Alhamdulillah rezeki dan rahsia Allah. Ini adalah permulaan 2025 yang sangat indah. Usaha beberapa bulan ini membuahkan hasil, jadi saya sangat gembira.
“Sebenarnya suara ini belum 100 peratus pulih, doktor menyarankan saya berehat selama sebulan lebih tetapi komitmen terhadap AJL. Alhamdulillah, rezeki Allah.
“Lagu aura ini sangat berhak untuk diberikan perhatian dan peluang untuk didengari, itu termampu yang saya buat. Saya letakkan arrangement itu sesuai dengan mesej yang saya nak sampaikan, women empowerment,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat dakwaan di media sosial yang mengatakan persembahan Ernie malam itu seakan-akan terinspirasi oleh gaya penyanyi antarabangsa, Ariana Grande. Ernie dengan tenang menafikan dakwaan tersebut, menyatakan bahawa ia hanyalah kebetulan.
“Tidak, itu hanya kebetulan sahaja,” jelasnya.
Pada malam kemuncak AJL39, Ernie sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik, menjadikan kemenangan dalam kategori tersebut sebanyak empat kali.