Masih ada penumpang abaikan pemakaian tali pinggang keledar – JPJ Terengganu

Masih ada penumpang abaikan pemakaian tali pinggang keledar – JPJ Terengganu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Walaupun sudah hampir lima bulan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas dilaksanakan, masih ada penumpang yang dikesan gagal mematuhi peraturan itu dengan alasan tidak tahu ia satu kesalahan atau sudah terbiasa tidak memakai alat keselamatan itu ketika menaiki perkhidmatan awam itu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, sejak berkuat kuasa pada Julai lalu hingga kini, sebanyak 29 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan berkenaan dengan 26 saman terhadap penumpang manakala selebihnya pemandu.

Katanya, tahap pematuhan terhadap peraturan itu semakin tinggi apabila kesalahan dikesan semakin menurun dengan masing-masing satu kes pada September dan Oktober berbanding 10 kes pada Ogos dan tiga kes pada Julai.

“Bagaimanapun dalam operasi hari ini (semalam) kita mengeluarkan tiga lagi saman (tidak pakai tali pinggang keledar) terhadap penumpang membabitkan tiga lelaki warga Bangladesh.

“Antara alasan yang sering diberikan adalah tidak mengetahui bahawa ia (tidak pakai tali pinggang keledar) adalah satu kesalahan, manakala sebahagian lagi mengaku sudah terbiasa tidak memakai tali pinggang keledar ketika menaiki bas.

“Kita tidak dapat menerima alasan seperti itu kerana peringatan berkenaan peraturan itu sudah dihebahkan pemandu menggunakan pembesar suara sebelum memulakan perjalanan.

“Pematuhan aspek keselamatan seperti ini bukan sahaja penting untuk mengurangkan risiko kecederaan parah, malah ia adalah kewajipan di bawah peraturan lalu lintas sedia ada.

“JPJ akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penumpang serta pemandu bas yang mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar sepanjang perjalanan,” katanya selepas mengetuai Operasi Khas Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan, di sini, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top