KOTA BHARU: Masih ramai kalangan wanita belum mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, melalui rekod disediakan Perkeso, seramai 197,000 wanita berdaftar sebagai pencarum dalam skim tersebut sehingga Oktober tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, lebih 30,000 wanita berdaftar secara persendirian di bawah SKSSR manakala 166,666 melalui Pengkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih).
“Jadi, jumlahnya belum mencecah 200,000 pencarum. Ia menunjukkan masih ramai dalam kalangan suri rumah belum menyedari kepentingan mencarum dalam SKSSR.
“Sehubungan itu, diharap lebih ramai wanita mengambil peluang dan mendaftar di bawah skim ini sama ada secara dalam talian atau datang ke pejabat Perkeso,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Tunjong di sini hari ini.
Sivakumar memberitahu, pelbagai faedah dapat diperoleh golongan suri rumah melalui skim itu seperti perubatan dan perlindungan domestik merangkumi kejadian di dalam dan luar rumah.
“SKSSR turut memberikan perlindungan kepada suri rumah ketika mereka keluar menghantar anak ke sekolah atau ketika mereka membeli barang dapur. Jadi, suri rumah perlu rebut peluang ini dengan kadar bayaran hanya RM10 sebulan dan boleh dibayar sendiri atau oleh anak, suami dan majikan.
“Kerajaan akan menambahkan lagi peruntukan bagi skim ini melalui Belanjawan 2024. Kita sediakan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun ini dan dinaikkan sehingga RM50 juta dan pada tahun depan sekali gus mampu memberi manfaat kepada 400,000 pencarum,” katanya.
Sivakumar turut berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat dapat membiayai kaum wanita terutama golongan memerlukan untuk mendaftar di bawah SKSSR sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.-UTUSAN




