am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Tragedi tsunami yang berlaku 20 tahun lalu terus menjadi igauan ngeri buat penduduk Kota Kuala Muda di sini apabila ombak besar itu meragut nyawa ahli keluarga, merosakkan rumah dan harta benda.
Malah, detik cemas kejadian itu kekal tersimpan kemas dalam memori penduduk kerana mereka berdepan ombak setinggi hampir enam meter.
Mekanik Muhammad Taufik Che Aman, 42, berkata, ketika kejadian dia baru hendak menjamah nasi di rumah kenduri kahwin jirannya yang terletak 10 meter dari rumahnya.
“Ketika kejadian jam 1.20 tengah hari saya baru hendak suap nasi, tiba-tiba dengar suara riuh nampak ombak besar di laut, namun ombak itu tidak sampai ke rumah kenduri itu yang terletak 50 meter dari pantai.
“Selepas 10 minit, sekali lagi ombak mengganas dan kali ini lebih tinggi melepasi rumah api menyebabkan semua tetamu lari bertempiaran menyelamatkan diri.
“Saya sempat lari dan panjat pokok mangga di tepi rumah serta kedua ibu bapa saya juga sempat berpaut dan naik ke pokok lain. Ketika itu masing-masing melaungkan azan dan ada yang menangis ketakutan,” katanya yang tinggal di Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda di sini.
Bercerita lanjut, Muhammad Taufik berkata, apabila air surut selepas 15 minit kejadian, dia melihat anak gadis jirannya tersepit dan dihempap tiang rumah dengan keadaan tubuh dipenuhi lumpur.
“Saya angkat kayu yang hempap badan dia, saya bangunkan dia dan tepuk belakang agar dia dapat muntahkan selut. Dia dibawa ke hospital, namun meninggal dunia ketika rawatan,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dia sempat menyelamatkan adiknya daripada terkena renjatan elektrik apabila terdapat pokok tumbang menyebabkan kabel elektrik terputus sebelum mereka terpisah dan berpaut pada pokok.
Katanya, dia tidak dapat menggambarkan keadaan ketika itu kerana segalanya berlaku dengan pantas.
“Saya tidak ingat nama anak jiran yang terkorban, namun ketika itu dia masih remaja, rumahnya diperbuat daripada kayu musnah dalam kejadian.
“Wajahnya yang menanggung kesakitan masih dapat saya bayangkan, saya turut bersedih atas kehilangannya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana adik-adik selamat, mereka ada berpaut di atas pokok dan ada yang berada di atas kereta,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.
Sebahagian rumah Muhammad Taufik turut rosak dalam kejadian, namun keluarganya tidak berpindah di penempatan baharu disediakan kerajaan.
Sementara itu, nelayan Zakari Abidin, 54, berkata, pada hari kejadian dia baru sahaja selesai pengebumian anak sulungnya yang meninggal dunia akibat penyakit leukemia jam 10 pagi.
Menurutnya, rasa sedih kehilangan anak berusia enam tahun tidak dapat digambarkan apabila dia terpaksa menjual segala harta termasuk dua bot miliknya untuk merawat anaknya di Hospital Kuala Lumpur.
“Saya berkorban segalanya untuk anak sulung, tetapi belum hilang sedih kehilangan anak, tidak sangka ada lagi ujian menimpa apabila datang tsunami yang mengejutkan seluruh ahli keluarga.
“Kami belum sempat makan tengah hari, ombak membadai rumah mentua menyebabkan saya dukung tok isteri saya agar dia selamat dan dibawa berpindah di rumah kakak ipar di Sungai Petani.
“Kemudian saya teringat mak di rumah di Kampung Tepi Sungai. Apabila air surut saya terus ke rumahnya, dinding dapur pecah dibadai tsunami, mujur ada saudara mara yang selamatkan mak saya. Dia kemudian dibawa ke pusat pemindahan dengan lori,” kata bapa enam anak itu.
Dalam kejadian itu, Zakari turut mengalami kerugian apabila tanaman padi seluas satu hektar yang sepatutnya boleh dituai musnah akibat tsunami.
Dalam kejadian tsunami 26 Disember 2004, 12 penduduk di Kota Kuala Muda, di sini terkorban termasuk meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




