Masjid Pelancongan buka ruang kenal Islam

Masjid Pelancongan buka ruang kenal Islam

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang dikenali pelancong antarabangsa dengan keunikan tersendiri apabila masyarakat majmuk pelbagai kaum tinggal harmoni bersama-sama walaupun berbeza agama.

Salah satu mercu yang menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa termasuklah binaan masjid di serata negara yang mempunyai ciri-ciri menarik untuk diterokai.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan menjelaskan, kini sebanyak 98 masjid diiktiraf sebagai Masjid Pelancongan di seluruh negara dengan pendekatan memperkenalkan keunikan seni bina, sejarah dan nilai Islam kepada pelancong.

“Masjid bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan solat, malah mempunyai potensi besar sebagai aset pelancongan yang mampu menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Menyedari potensi itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui ITC terus memperkasa konsep Masjid Pelancongan menerusi penganjuran Hari Terbuka Masjid Kebangsaan buat julung kalinya di Masjid Tuminah Hamidi, yang juga Masjid Pelancongan ke-98,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Bagan Datuk yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Masjid Pelancongan buka ruang kenal Islam

MOHAMMAD FAISAL

Menurut Mohammad Faisal, program tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali masjid dengan lebih dekat, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan seni bina, sejarah, ukiran dan produk pelancongan setempat.

“Masjid-masjid di Malaysia mempunyai nilai yang mungkin dianggap biasa oleh masyarakat tempatan, namun sebenarnya menjadi aset menarik kepada pelancong asing untuk dikunjungi.

“Ada yang melibatkan sejarah, ukiran ataupun reka bentuk yang memang menarik dan pelbagai lagi. Jadi, pelancong-pelancong antarabangsa berminat untuk datang ke negara kita mengkaji perkara tersebut,” katanya.

Ujarnya, antara contoh yang diketengahkan ialah Masjid Putra di Putrajaya yang menerima kira-kira satu juta pengunjung luar negara setahun, sekaligus membuktikan masjid mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan.

Bagaimanapun katanya, kesedaran dalam kalangan pelancong domestik terhadap potensi masjid sebagai destinasi pelancongan masih perlu dipertingkatkan.

“Orang dalam negara masih lagi kurang tahu sebab mereka fikir, masjid untuk solat sahaja. Mereka tidak tahu produk-produk baharu yang boleh ditawarkan,” katanya.

Galeri, ukiran tarik perhatian

Masjid Tuminah Hamidi yang dipilih sebagai Masjid Pelancongan ke-98 turut mempunyai keunikan tersendiri menerusi reka bentuk serta kewujudan galeri yang memaparkan kandungan berkaitan al-Quran.

Ujar Mohammad Faisal, galeri al-Quran oleh Yayasan Restu misalnya menyediakan penerangan mengenai al-Quran, selain menjelaskan motif dan ukiran yang terdapat pada masjid berkenaan.

“Pengunjung bukan sahaja dapat melihat keindahan fizikal masjid, malah memahami makna di sebalik setiap corak, bentuk dan motif yang digunakan.

“Ada yang berkaitan dengan bunga dan sebagainya. Setiap benda itu ada keunikannya. Oleh sebab itu kita adakan Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di masjid ini,” katanya.

DR AHMAD ZAHID (tengah) merasmikan Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Dewan Dato\' Lope Hashim, Bagan Datuk baru-baru ini. Foto Bernama

DR AHMAD ZAHID (tengah) merasmikan Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Dewan Dato\’ Lope Hashim, Bagan Datuk baru-baru ini. Foto Bernama

Selain aktiviti di masjid, pendekatan pendigitalan turut diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat meneroka masjid secara maya dengan kerjasama Aldea Labs yang menyaksikan teknologi 360 darjah digunakan untuk memaparkan masjid terpilih, membolehkan pengguna melihat suasana masjid dari luar dan dalam menerusi paparan beresolusi tinggi.

55 MFTG diperkenal produk Hilir Perak

Dalam usaha memastikan promosi masjid tidak terhenti pada program sehari, pendekatan Community-Based Tourism (CBT) turut dilaksanakan dengan melibatkan komuniti setempat.

Ujarnya, pempamer tempatan diberikan ruang memperkenalkan produk masing-masing, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Pada masa sama, seramai 55 Muslim Friendly Tour Guide (MFTG) dari seluruh negara dibawa ke Hilir Perak bagi mengenali produk pelancongan di kawasan tersebut.

“Mereka dibawa mengunjungi Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk termasuk beberapa tarikan pelancongan seperti Sky Mirror, Ladang Bunga Matahari, Kompleks Sejarah Pasir Salak dan banyak lagi,” katanya.

DR AHMAD ZAHID (tengah) bergambar bersama MFTG dari seluruh negara pada perasmian Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Bagan Datuk baru-baru ini.

DR AHMAD ZAHID (tengah) bergambar bersama MFTG dari seluruh negara pada perasmian Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Bagan Datuk baru-baru ini.

Pendekatan itu dilihat mampu menghasilkan kesan berganda kerana pemandu pelancong berperanan memperkenalkan destinasi berkenaan kepada pelancong yang mereka bawa, ujarnya.

Menariknya usaha memperkenalkan masjid sebagai destinasi pelancongan turut melibatkan pemandu pelancong bukan Islam.

“Langkah ini penting bagi memenuhi keperluan pelancong asing yang lazimnya memilih pemandu pelancong berdasarkan penguasaan bahasa tertentu.

“Sebagai contoh, pelancong dari China mungkin lebih selesa menggunakan pemandu pelancong berbahasa Mandarin, manakala pelancong dari India pula memerlukan pemandu yang mampu berkomunikasi dalam bahasa mereka.

“Jadi, kita buka ruang itu juga kepada bukan Islam dan lebih kurang 70 peratus daripada lebih 300 MFTG adalah bukan Islam,” jelasnya.

Scroll to Top