Mastantuono sah ke Real

Mastantuono sah ke Real

Madrid: Gergasi La Liga, Real Madrid mengumumkan mencapai persetujuan untuk mendapatkan pemain remaja sensasi, Franco Mastantuono dari River Plate, sekali gus meneruskan tradisi memburu bakat muda terbaik dari Argentina.

Pemain tengah menyerang berusia 17 tahun itu akan menyertai kelab berkenaan bermula 14 Ogos 2025 hingga 30 Jun 2031, dengan kontrak selama enam musim, menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Real, hari ini.

“Franco Mastantuono akan menjadi pemain Real Madrid untuk enam musim akan datang,” kata kelab itu yang turut memuji keupayaan pemain itu sebagai antara prospek terbaik Amerika Selatan.

Menurut media Sepanyol, nilai perpindahan Mastantuono dianggarkan sekitar €45 juta (RM229 juta), namun laporan di Argentina menyebut jumlah itu boleh mencecah sehingga €60 juta (RM305 juta) bergantung kepada bonus dan prestasi.

Mastantuono akan terus mewakili River Plate dalam aksi Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat musim panas ini, sebelum berhijrah ke ibu negara Sepanyol.

Pemain yang berasal dari Junín, Buenos Aires itu mencipta sejarah sebagai pemain termuda yang beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina dalam perlawanan rasmi.

Dia turut membuat penampilan sulung bersama pasukan utama River pada Januari 2024.

Real menjadikannya sebagai pembelian ketiga musim panas ini selepas membawa masuk Trent Alexander Arnold dari Liverpool dan Dean Huijsen dari Bournemouth.

Turut diumumkan sebelum ini, bekas pemain tengah mereka, Xabi Alonso dilantik selaku pengendali baharu menggantikan Carlo Ancelotti selepas kelab itu gagal meraih sebarang trofi utama musim ini.

Real kini dilihat mahu membina semula skuad jangka panjang yang berasaskan pemain muda berbakat tinggi, sebagaimana dilakukan mereka sebelum ini dengan Vinicius Jr, Rodrygo, Endrick dan Jude Bellingham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top