am@hmetro.com.my
Seremban: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataannya yang mencetuskan kebimbangan awam pada ceramah baru-baru ini.
Haim Hilman, 53, yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat telah menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang demikian mana-mana orang mungkin terdorong untuk melakukan kesalahan terhadap ketenangan awam.
Antara kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit’.
‘Bukan salah ibu ayah yang ada kemampuan, salah kerajaan tidak menambah tempat di universiti. Dah tahu orang makin ramai pandai, jumlah di fakulti tidak ditambah. Inilah bala yang sedang melanda negara kita’.
Kesalahan berkenaan dilakukan antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas Pas Seremban di sini pada 13 Jun 2026.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [AKta 574], sabit kesalahan, boleh dihukum penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Ku Hayati Ku Harun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Mohd Fauzi Che Abu yang mengetuai enam barisan peguam mewakili tertuduh dalam rayuannya berpendapat jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah bersifat menghukum dan tidak munasabah selain turut mencadangkan jaminan RM5,000.
Mohd Fauzi turut tidak bersetuju dengan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan yang meminta tertuduh menyerahkan pasport.
“Kami bantah atas tiga kesalahan utama iaitu kes ini didaftarkan di bawah saman jenayah yang mana dokumen perjalanan ini akan diserahkan kepada mahkamah untuk kesalahan lebih serius membabitkan pengubahan wang haram di bawah akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana hukuman ini akan menyebabkan orang akan melarikan diri.
“Tapi dalam kes ini, sifat pertuduhan tidak serius berbanding kesalahan yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mengambil dokumen perjalanan antarabangsa anak guamnya akan mengganggu tugas dan amanahnya sebagai exco serta ADUN yang sering ke luar negara untuk urusan rasmi kerajaan Kedah.
Katanya, tertuduh juga hadir ke mahkamah untuk prosiding hari ini atas kerelaannya sendiri untuk membersihkan namanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 30 Julai depan.
Sebelum ini, Haim Hilman didakwa menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menafikan hak 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus dan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam satu ceramah umum di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kemudian dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan termasuk dakwaan kononnya institusi itu menjual tempat kepada golongan tertentu.
Menurut KPT, tuduhan itu bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




