am@hmetro.com.my
Butterworth: Puluhan mat rempit diarah menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Bagan Ajam ke Balai Polis Butterworth selepas ditahan kerana menunggang motosikal secara bahaya dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, berkata dalam operasi sebanyak 48 motosikal disita manakala 195 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi bermula jam 5 petang itu membabitkan 34 anggota polis dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPDT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK )Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) negeri.
“Sebanyak 67 motosikal diperiksa dan 48 daripadanya disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, pihaknya sentiasa komited membanteras aktiviti samseng jalanan bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya.
Minggu lalu, media melaporkan sekumpulan penunggang motosikal dikesan menunggang secara melawan arus di BORR Bagan Ajam, di sini hingga video memaparkan perbuatan mereka tular di media sosial.
Tindakan itu dipercayai dilakukan bagi mengelak diri dari ditahan polis yang mengadakan Op Samseng Jalanan berhampiran plaza tol dekat BORR terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




