Rodri bangga semangat juang Sepanyol

Rodri bangga semangat juang Sepanyol

Arlington: Jaringan dramatik pemain gantian, Mikel Merino pada masa kecederaan membawa Sepanyol ke suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan Portugal 1-0, sekali gus menutup tirai karier Cristiano Ronaldo di pentas kejohanan itu.

Juara Eropah itu kini akan menentang sama ada Amerika Syarikat (AS) atau Belgium di Los Angeles, awal pagi Sabtu ini.

Di hadapan 70,649 penonton di stadium milik pasukan NFL, Dallas Cowboys, perlawanan yang dijangka menjadi pertarungan sengit gagal menampilkan aksi menyerang yang memukau apabila kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang berkualiti.

Ketika aksi dilihat hampir pasti berlanjutan ke masa tambahan, Ferran Torres yang masuk sebagai pemain gantian melorongkan bola kepada Merino sebelum pemain tengah Arsenal itu tenang menyudahkannya pada minit pertama masa kecederaan.

Gol itu memastikan penampilan terakhir Ronaldo di Piala Dunia berakhir dengan penuh kekecewaan apabila penyerang berusia 41 tahun itu dilihat menahan sebak sebaik wisel penamat dibunyikan.

Kapten Sepanyol, Rodri berkata, kemaraan pasukannya adalah hasil kesabaran dan kematangan ketika menghadapi tekanan.

“Jika ada yang fikir kami boleh mara tanpa melalui saat-saat sukar, mereka silap. Kami tahu kami perlu menunggu saat yang tepat dan akhirnya peluang itu tiba walaupun Portugal juga mempunyai peluang untuk menang,” katanya.

Rodri turut memuji Merino yang hanya berada enam minit di atas padang sebelum muncul wira kemenangan.

“Dia pemain yang luar biasa dan antara pemain yang paling saya kagumi,” katanya.

Ronaldo yang kini beraksi di Arab Saudi sudah mengesahkan sehari sebelum perlawanan bahawa edisi kali ini adalah penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama skuad Portugal.

Sepanyol pula meneruskan rekod cemerlang apabila masih belum dibolosi sepanjang kejohanan walaupun berdepan tentangan sengit daripada seteru Iberia itu.

Sebelum sepak mula, suasana hening menyelubungi stadium apabila imej mendiang Diogo Jota dipaparkan pada skrin gergasi sebagai penghormatan kepada bekas penyerang Portugal itu.

Sepanyol hampir mendahului menerusi Mikel Oyarzabal, namun percubaannya tersasar, manakala Ronaldo turut menguji Unai Simon dengan rembatan dari sudut sempit.

Portugal hampir membuka jaringan apabila percubaan Nuno Mendes terkena Pedro Porro sebelum bola singgah di palang gol, namun kecederaan yang memaksa Mendes dikeluarkan pada minit ke-56 sedikit menjejaskan rentak mereka.

Perlawanan yang hambar akhirnya diputuskan oleh sentuhan Merino pada saat-saat akhir, sekali gus memastikan Sepanyol meneruskan misi memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top