kartika@mediaprima.com.my
Cyberjaya: Ubi kayu dihasilkan menerusi aplikasi teknologi nuklear mampu matang dalam tempoh kira-kira enam bulan berbanding 11 hingga 12 bulan bagi varieti biasa.
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) kini dalam proses akhir penyelidikan dan saringan beberapa baka ubi kayu sebelum varieti itu boleh diperluas untuk kegunaan sektor pertanian negara.
Pegawai Penyelidik Bahagian Agroteknologi dan Biosains Nuklear Malaysia, Norazlina Noordin berkata, selepas hampir enam tahun penyelidikan sejak 2021, pihaknya berjaya menghasilkan beberapa varieti ubi kayu matang lebih awal tanpa menjejaskan hasil.
“Alhamdulillah, selepas lima hingga enam tahun penyelidikan, kami berjaya memperoleh beberapa line baharu dapat mengurangkan tempoh penuaian kepada kira-kira enam bulan dan hasilnya juga lebih tinggi berbanding bahan tanaman kawalan.
“Sekarang kami masih menjalankan proses saringan dan memastikan ciri diperoleh itu benar-benar stabil dan kami berharap dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, ia dapat berada di pasaran,” katanya ketika ditemui pada Program Advokasi Nuklear: Nuklear untuk Rakyat (N.U.R) @Wanita di RekaScape, Cyberjaya di sini, semalam.
Program itu turut mendapat kerjasama rakan strategik, Bioeconomy Corporation serta sokongan rakan pelaksana daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Pusat Sains Negara (PSN).
Hadir merasmikan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd Piah dan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin.
Norazlina berkata, istilah ‘ubi kayu nuklear’ merujuk penggunaan teknologi nuklear dalam proses penyelidikan dan pembiakbakaan tanaman, bukannya ubi kayu itu mengandungi bahan radioaktif.
Katanya, teknologi menggunakan sinaran gamma terhadap keratan batang ubi kayu bagi menghasilkan perubahan genetik secara rawak sebelum bahan tanaman ditanam dan disaring untuk dapatkan ciri dikehendaki.
“Jangan bimbang kerana sinaran itu hanya melalui bahan tanaman seperti proses pass through dan tidak meninggalkan sisa radiasi.
“Selepas itu, kita tanam dan saring. Bagi ubi kayu, kita melihat ia matang lebih awal dan mempunyai hasil tinggi termasuk tahan penyakit dan perubahan cuaca,” katanya.
Norazlina berkata, penyelidikan turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia yang membantu dalam proses saringan dan penyediaan kawasan tanaman, selain menerima sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Katanya, pihaknya menerima geran RM100,000 daripada IAEA bagi tempoh lima tahun penyelidikan, manakala kejayaan menghasilkan ubi kayu matang lebih cepat dijangka beri peluang kepada petani meningkatkan kekerapan penanaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd
