zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hampir dua dekad berlalu namun kenangan menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest masih segar dalam ingatan Marina Ahmad, 45, yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama Malaysia menakluki puncak tertinggi dunia itu.
Bagi ibu empat cahaya mata itu, pengalaman berkenaan kekal sebagai antara detik paling bermakna dalam hidupnya apabila berpeluang menyertai Ekspedisi Merdeka De’Everest pada 2007 bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.
Menurut Marina, dia tidak pernah merancang untuk mencipta sejarah atau mengejar sebarang rekod ketika menyertai ekspedisi berkenaan sebaliknya didorong minat terhadap aktiviti lasak dan mendaki selain keinginan mencuba sesuatu yang baharu serta mencabar.
“Saya sebenarnya bukanlah orang yang sejak awal merancang untuk mencipta sejarah sebaliknya saya hanya didorong minat terhadap aktiviti lasak dan pendakian.
“Jadi apabila diberi kesempatan menyertai ekspedisi Everest, saya rasa ini peluang yang tak boleh dilepaskan apatah lagi keluarga dan orang sekeliling banyak memberi sokongan untuk saya merealisasikan hajat itu,” katanya ketika dihubungi.
Marina yang kini bertugas sebagai penerbit rancangan di RTM berkata, tumpuannya ketika itu hanya melakukan yang terbaik untuk sampai ke puncak dan kembali ke tanah air dengan selamat tanpa terlintas di fikirannya pendakian itu menjadikannya wanita Malaysia pertama menawan Everest.
“Saya cuma fokus untuk buat yang terbaik, sampai ke puncak dan pulang dengan selamat. Soal rekod itu datang kemudian kerana yang saya fikir masa itu cuma rasa syukur sebab berjaya melalui segala cabaran dan mahu kembali dengan selamat,” katanya.
Marina berkata, dia mula menyedari betapa besar makna pencapaiannya itu selepas pendakian berkenaan mendapat pengiktirafan dan direkodkan dalam Malaysia Book of Records.
“Saya bangga bukan kerana gelaran wanita Malaysia pertama menawan Everest tetapi kerana pencapaian itu membuktikan wanita negara ini juga mampu pergi jauh dan melakukan sesuatu yang sebelum ini mungkin dianggap sukar.
“Lebih bermakna, kejayaan itu dicapai sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara dan tentunya menjadi antara memori paling berharga buat saya,” katanya.
Bagi Marina, pengalaman di Everest turut mengubah perspektifnya mengenai erti kemerdekaan apabila berada jauh dari tanah air dan melihat Jalur Gemilang berkibar di puncak gunung itu.
Katanya, kemerdekaan bukan sekadar sambutan tahunan atau mengibarkan Jalur Gemilang sebaliknya memberi ruang kepada rakyat untuk bermimpi, mencuba dan menentukan sejauh mana mereka mahu melangkah dalam kehidupan.
“Bagi saya, kemerdekaan ialah kebebasan untuk bermimpi, mencuba dan menentukan hala tuju hidup tanpa rasa takut untuk keluar daripada kebiasaan.
“Ia juga hadir bersama tanggungjawab. Apabila kita sudah diberi peluang dan kebebasan, kita perlu memanfaatkannya sebaik mungkin dan buat sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain serta negara,” katanya.
Sempena bulan kemerdekaan negara, Marina berharap Malaysia terus menjadi negara yang memberi ruang kepada generasi muda untuk berani bermimpi besar dan mengejar impian walaupun pada awalnya kelihatan mustahil.
Untuk rekod, Marina yang berjaya menawan puncak setinggi 8,848 meter pada 21 Mei 2007 itu turut menjadi pendaki wanita keempat dari Asia Tenggara dan pendaki wanita ke-89 dunia yang berjaya menawan puncak Gunung Everest.
Kini, Marina dan suaminya, Mohd Rafi Kori, 47, yang turut menyertai ekspedisi berkenaan masih berhubung dengan pendaki sherpa di Nepal serta kumpulan pendaki profesional lain bagi berkongsi maklumat dan pengalaman dalam bidang pendakian.
Mereka yang mendirikan rumah tangga pada 2008 iaitu setahun selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu juga masih aktif dalam aktiviti pendakian.
© New Straits Times Press (M) Bhd

