Matrix Concepts sasar permodalan pasaran RM5 bilion

Matrix Concepts sasar permodalan pasaran RM5 bilion

SEREMBAN: Pemaju Bandar Sri Sendayan, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) kini bergerak ke hadapan dengan sasaran pemodalan pasaran berjumlah RM5 bilion menjelang 2035.

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, ketika ini, kumpulan perniagaan itu yang terlibat dalam pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan memiliki pemodalan pasaran sebanyak RM2.68 bilion.

Beliau berkata, syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran tersebut dipandu oleh disiplin, kecemerlangan pelaksanaan, kepercayaan pasaran dan kepercayaan beliau sendiri kepada seluruh kakitangan.

“Saya telah menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan mencapai RM4 bilion menjelang 2030 dan RM5 bilion menjelang 2035,” katanya pada majlis makan malam bagi meraikan kakitangan Matrix Concepts di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dan lebih 700 kakitangan syarikat berkenaan.

Tian Hock memberitahu, pertumbuhan masa depan Matrix Concepts akan dipacu oleh pembangunan bandaraya bersepadu, Malaysia Vision Valley (MVV City) di kawasan seluas 963 hektar dekat sini yang mempunyai Nilai Pertumbuhan Kasar (GDV) sebanyak RM15 bilion.

Tambahnya, ia akan disokong oleh pembangunan Bandar Seri Impian Fasa 2 yang menampilkan 4,000 unit kediaman di kawasan seluas 133 hektar di Kluang, Johor dengan GDV sebanyak RM1.56 bilion.

“Semua ini bukan sekadar projek pembangunan semata-mata tetapi platform yang akan memacu Matrix Concepts dalam tempoh 10 tahun akan datang dan seterusnya meletakkan kami dengan kukuh pada tahap skala, kerelevanan dan impak negara yang seterusnya.

“Semoga tahun kuda yang diraikan pada perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi akan membawa kami di Matrix Concepts dan seluruh rakyat Malaysia kesihatan yang baik, kemakmuran dan kejayaan berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top