MATTA Fair terima sambutan luar biasa, 6,361 sertai Buyers’ Contest

MATTA Fair terima sambutan luar biasa, 6,361 sertai Buyers’ Contest

 

 

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan sambutan luar biasa terhadap MATTA Fair April 2026 sebagai bukti jelas semangat rakyat Malaysia untuk kembali mengembara kian meningkat.

Timbalan Presidennya, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, edisi ke-58 pameran itu mencatatkan pertumbuhan positif menerusi pelbagai peraduan yang dianjurkan, termasuk Buyers’ Contest yang menerima sebanyak 6,361 penyertaan.

“Maklum balas yang kukuh ini menunjukkan masyarakat kini mengembara dengan lebih bermakna, menghubungkan diri dengan tempat, budaya dan komuniti.

“Inilah nilai yang sentiasa diperjuangkan oleh MATTA Fair,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah MATTA Fair April 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Jualan Global Syarikat Penerbangan, Syazwan Ahmad Sabri; Ketua Jualan Komersial Wilayah Tengah Malaysia Aviation Group (MAG), Angela Claire Sui-Ming Curtis; serta Naib Presiden Kanan Lexis Hotel Group, Steve Woon.

Pada majlis itu, V Surin, 35, yang merupakan kakitangan perkeranian dari Pedu, Kedah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama berupa tiket penerbangan kelas perniagaan ke Paris.

Beliau yang pertama kali memenangi hadiah utama menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kejutan besar selepas hanya dua kali mengunjungi pameran berkenaan.

“Saya tidak pernah memenangi hadiah utama atau cabutan bertuah dengan nilai sebesar ini. Jika sudah tertulis rezeki kita, ia tidak akan ke mana,” katanya.

Menurutnya, beliau kini mempertimbangkan sama ada untuk membawa ibu bapa atau menghadiahkan pakej percutian tersebut kepada mereka.

Selain hadiah ke Paris, hadiah berupa tiket penerbangan kelas perniagaan ke Chengdu dan Jakarta serta tiket kelas ekonomi ke Sydney dan Narita turut disampaikan kepada pemenang.

Pameran kali ini turut dimeriahkan dengan kempen media sosial Ride N’ Reels yang mencatatkan 1,650 penyertaan kreatif, sementara aktiviti Spin & Win di Dewan 5 merekodkan 466 pemenang daripada 525 penyertaan.

Dalam pada itu, penganjur merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan penaja yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara tersebut.

Orang ramai turut dijemput menghadiri MATTA Fair Peringkat Kebangsaan pada 4 hingga 6 September depan di MITEC.

 

 

Scroll to Top