KUALA LUMPUR – Peranti had laju (SLD) yang diperkenalkan AetherDrive bukan sekadar produk kawalan kelajuan semata-mata, sebaliknya menjadi asas kepada pembangunan ekosistem keselamatan kenderaan komersial yang lebih menyeluruh di Malaysia.
Pengerusi Lembaga Pengarah Shanghai Xingrong Automotive Technology Co., Ltd, Jackie Cai Jiye berkata, fokus syarikat itu bukan hanya menjual peranti, tetapi membangunkan infrastruktur keselamatan pintar, stabil dan berdaya tahan untuk industri pengangkutan.
“SLD hanyalah salah satu produk yang kami bina untuk keseluruhan ekosistem melibatkan keselamatan, kawalan dan pengurusan kenderaan secara lebih pintar,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Produk SLD Kenderaan Komersial di sini pada Rabu.
Menurutnya, teknologi SLD yang dibawa ke Malaysia merupakan sistem matang yang telah digunakan lebih 20 tahun di China dan terbukti berkesan dalam mengawal kelajuan serta mengurangkan risiko kemalangan.
Beliau berkata, faktor kelajuan berlebihan dikenal pasti antara punca utama kemalangan jalan raya, justeru kawalan lebih konsisten amat penting bagi meningkatkan keselamatan trafik.
“Berdasarkan pengalaman kami di China, kawalan kelajuan yang ketat mampu mengurangkan risiko kemalangan secara signifikan.
“Namun, bukan semua SLD selamat kerana ada sistem yang memperlahankan kenderaan secara mendadak hingga boleh mencetuskan bahaya,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan, peranti teknologi itu direka untuk mengawal kelajuan secara lebih stabil dan berperingkat.
Tambah beliau, sistem berkenaan sesuai digunakan merentasi pelbagai sektor termasuk logistik, minyak dan gas serta pengangkutan komersial lain.
Katanya, berdasarkan pengalaman di China yang mempunyai lebih 35 jenis kenderaan komersial, teknologi itu diyakini mampu disesuaikan dengan pasaran Malaysia yang lebih kecil dan tidak terlalu kompleks.
“Setakat ini, kami tidak melihat sebarang kekangan besar untuk menyesuaikan sistem ini di Malaysia kerana kebanyakan jenis kenderaan di sini juga terdapat di China,” katanya.
Mengulas lanjut, Jackie berkata, pihaknya juga terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan bagi memperkukuh pembangunan teknologi dan memahami keperluan pasaran Malaysia dengan lebih mendalam.
Katanya, syarikat itu turut menjalin hubungan dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pematuhan dan pelaksanaan sistem berjalan lancar.
“Matlamat kami bukan sekadar berada di pasaran, tetapi menjadi rakan jangka panjang dalam membangunkan sistem pengangkutan yang lebih selamat, pintar dan tersusun di Malaysia,” tambah beliau.



