bhnews@bh.com.my
JERTIH: Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Perodua Kembara dipandunya terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan, petang tadi.
Kemalangan berlaku di Kampung Padang Luas, Jertih kira-kira jam 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata Mohd Al Hafiz Isahak, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di dada.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu dari arah Pasir Puteh, Kelantan menghala ke Padang Luas, dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di kiri jalan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
“Keadaan tempat kejadian jalan lurus, jalan dua lorong dua hala dengan hujan dan jalan basah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.49 petang sebelum lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit berikutan dadanya tercucuk besi penghadang jalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
