am@hmetro.com.my
Shah Alam: Mayat bayi perempuan ditemukan dalam plastik dipercayai ditinggalkan di tepi lorong belakang sebuah pasar raya di Seksyen 25, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian jam 7.30 pagi, sebelum anggota ronda ke lokasi kejadian untuk mengesahkan maklumat.
“Bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi kejadian bagi mengumpul sebarang bukti dan barang kes yang boleh membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi itu disyaki dilahirkan di tempat lain dan dibuang di tempat kejadian.
“Bayi itu dipercayai ditinggalkan anggaran tujuh hingga lapan jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengumpul segala bukti dan keterangan yang ada di sekitar kawasan tempat kejadian.
“Mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan secara rahsia menyembunyikan kelahiran sama ada bayi mati sebelum atau selepas melahirkan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




