Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berjaya memperoleh semula aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1Malaysia Development Berhad) berjumlah kira-kira RM31.3 bilion, iaitu bersamaan 74.5 peratus daripada keseluruhan dana yang diseleweng.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu merupakan satu perkembangan besar dalam usaha berterusan mengesan dan memulangkan semula aset negara yang hilang akibat penyelewengan.
“Hari ini menandakan satu pencapaian dalam usaha berterusan SPRM untuk mendapatkan semula aset negara yang telah diseleweng melalui skandal 1MDB.
“Sehingga kini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah sebanyak RM42 bilion.
“Nilai keseluruhan aset yang berjaya diperoleh semula setakat tahun 2025 ialah RM31,301,717,268.56 (kira-kira RM31.3 bilion).
“Pecahan pemulihan aset mengikut tahun ialah RM1,155,381,001.99 (tahun 2019), RM14,257,701,636.31 (tahun 2020), RM5,117,828,963.99 (tahun 2021), RM400,386,825.68 (tahun 2022), RM8,088,157,675.09 (tahun 2023), RM715,954,391.27 (tahun 2024) dan RM1,566,306,774.23 (tahun 2025),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Menurutnya, sehingga tahun 2025, Malaysia telah berjaya mendapatkan semula 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng, iaitu hampir tiga perempat daripada jumlah tersebut.
Katanya lagi, kadar pemulihan aset itu dianggap sebagai satu pencapaian signifikan dan turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini melebihi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan.
“Kejayaan ini merupakan antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar,” ujarnya.




