Mayat di kawasan semak di Seri Kembangan disahkan wanita

Mayat di kawasan semak di Seri Kembangan disahkan wanita

harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Polis mengesahkan penemuan mayat wanita dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat di kawasan semak berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, jasad wanita itu ditemui orang awam yang kemudian membuat laporan pada 3.45 petang.

“Balai Polis Serdang menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat seorang wanita warganegara belum dipastikan dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan diikat.

“Mangsa berketinggian 144 sentimeter (CM), berambut perang dan panjang melepasi paras bahu, berkuku panjang, memakai subang perak di kedua telinga, memakai gelang kain berwarna hijau dan merah serta memiliki tatu di tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 0380742222,”katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, misteri bau busuk berhampiran Jalan Anggerik, Seri Kembangan, terungkai apabila polis menemukan satu jasad manusia di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top