hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Gombak: Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan masih memakai topi keledar dan lengkap berpakaian di kawasan hutan di bawah Jalan Rawang Bypass, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada 9.30 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mayat berkenaan adalah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 48 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian serta memakai topi keledar.
“Polis turut menemui barangan peribadi milik lelaki itu seperti dompet yang mengandungi kad pengenalan diri dan jam tangan.
“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bedah siasat akan dilakukan, hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Abang Kaderi berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Rawang, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
