Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Polis sedang mengenal pasti identiti mayat lelaki ditemui terapung oleh seorang pemancing di sebatang sungai berhampiran Kelab Golf Seri Selangor, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Muhamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada jam 1.25 pagi.

“Setakat ini butiran penuh mangsa lelaki berkenaan termasuk bangsa dan umur belum dikenal pasti.

“Menurut saksi, ketika sedang memancing di jambatan tepi kelab golf terbabit lalu terlihat satu objek seperti tubuh manusia terapung mengikut arus dalam keadaan tertangkup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, saksi berkenaan lantas menghubungi Balai Polis Kota Damansara bagi melaporkan penemuan itu.

Katanya, sepasukan polis dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membawa keluar mayat terbabit untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi saringan Covid-19 dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Balai Kota Damansara di 0361421222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd