harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Kerayong, Jalan Cheras, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki disyaki lemas itu pada jam 5.13 petang.
“Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa dianggarkan berusia 20-an. Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas dalam sekitar dua hingga tiga hari yang lalu.
“Pemeriksaan fizikal oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Terdahulu kejadian itu tular di media sosial selepas kehadiran sekumpulan anggota polis dan bomba di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




