Pengusaha lori bimbang kuota diesel 5,000 liter tidak mencukupi

Pengusaha lori bimbang kuota diesel 5,000 liter tidak mencukupi

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain industri pengangkutan bimbang dengan pengurangan kuota subsidi diesel kepada 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bermula 1 Jun ini akan memberi kesan besar termasuk meningkatkan harga pelbagai barangan keperluan rakyat.

Pemain industri pengangkutan dan logistik yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Daniel Khoo berkata, kuota sedia ada ketika ini sudah tidak mencukupi bagi kebanyakan syarikat pengangkutan terutama pengusaha lori treler.

Menurutnya yang memiliki syarikat pengangkutan lori treler lebih sedekad, pengurangan kuota subsidi itu akan menyebabkan kos operasi syarikat meningkat dengan ketara.

“Dalam industri pengangkutan, diesel adalah komponen utama operasi harian. Kuota sedia ada sebenarnya tidak mencukupi untuk banyak syarikat apatah lagi apabila dikurangkan kepada 5,000 liter.

“Apabila kos operasi lori meningkat, ia bukan saja menjejaskan syarikat pengangkutan tetapi akan memberi kesan rantaian kepada pelbagai industri lain,” katanya.

Menurutnya, hampir semua sektor termasuk pembinaan, kilang makanan, logistik barangan, pemborongan serta pengedaran sayur-sayuran bergantung kepada pengangkutan lori.

Katanya, peningkatan kos pengangkutan akhirnya akan dipindahkan kepada pemilik industri dan pengeluar sebelum diterjemahkan kepada kenaikan harga barang di pasaran.

“Bila kos pengangkutan naik, syarikat tiada pilihan selain menaikkan caj penghantaran. Akhirnya harga bahan binaan seperti pasir dan batu termasuk produk kilang serta barangan keperluan lain juga akan meningkat.

“Yang paling terkesan nanti adalah rakyat kerana kenaikan kos itu akan sampai terus kepada pengguna,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan supaya menilai semula keputusan pengurangan kuota subsidi diesel bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap industri pengangkutan dan kos sara hidup rakyat.

“Langkah itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta cabaran sebenar dihadapi pengusaha pengangkutan yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pelarasan had kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membabitkan setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 hingga 5,000 liter sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, ia membabitkan sektor pengangkutan darat barangan bagi mengekang ketirisan dan ‎penyalahgunaan fleet card.

Katanya, ia tertakluk ‎kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan ‎sektor pengangkutan darat barangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top