Mayat remaja perempuan ditemui dalam beg pakaian berhampiran landasan kereta api

Mayat remaja perempuan ditemui dalam beg pakaian berhampiran landasan kereta api

CHONBURI – Mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui di dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan berhampiran landasan kereta api di Pattaya, dalam satu kes yang mengejutkan Thailand dan mencetuskan siasatan pembunuhan berskala besar.

Polis menahan seorang lelaki warga Australia selepas siasatan awal mengaitkannya dengan kehilangan mangsa yang dilaporkan hilang oleh rakannya selepas gagal dihubungi lebih 24 jam.

Menurut pihak berkuasa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dilihat bersama lelaki berusia 46 tahun itu memasuki sebuah kondominium di Jomtien Second Road pada jam 3.34 pagi waktu tempatan, 25 Jun 2026.

Pasangan itu dilihat menaiki bilik di tingkat 15 bangunan berkenaan, namun mangsa tidak pernah dilihat keluar semula.

Rakaman CCTV lain kemudian menunjukkan lelaki terbabit pada jam 9.34 malam waktu tempatan pada hari sama membawa keluar sebuah beg pakaian berwarna hitam dari kondominium sebelum menaiki motosikal dan bergerak di sekitar Sukhumvit Road serta beberapa laluan berhampiran landasan kereta api.

Polis berkata, suspek hilang daripada liputan CCTV selama kira-kira sembilan minit sebelum kembali ke kondominium tanpa beg berkenaan, sekali gus menimbulkan syak bahawa beg itu mengandungi mayat mangsa.

Selepas laporan orang hilang dibuat, polis menjalankan pemeriksaan di kondominium tersebut namun tidak menemui mangsa atau suspek.

Terdapat kesan pergelutan ditemui di dalam bilik berkenaan.

Pencarian pihak berkuasa menemui beg pakaian yang memuatkan mayat mangsa. Foto khaosodenglish.

Pencarian pihak berkuasa menemui beg pakaian yang memuatkan mayat mangsa. Foto khaosodenglish.

Pada jam kira-kira 7 malam waktu tempatan, 26 Jun 2026, polis menahan suspek di Lapangan Terbang Suvarnabhumi ketika dia cuba membeli tiket penerbangan pulang ke Australia.

Pihak polis memaklumkan lelaki itu mempunyai kesan calar di leher dan tangan yang dipercayai akibat kuku manusia, namun dia menafikan penglibatan dalam kehilangan mangsa.

Beberapa jam kemudian, pada jam 11.17 malam waktu tempatan, polis menjejaki semula laluan suspek dan menemui sebuah beg pakaian hitam berukuran 26 inci yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran landasan kereta api kira-kira 4.2 kilometer dari kondominium tersebut.

Pasukan penyelamat mengesahkan terdapat mayat di dalam beg berkenaan sebelum pemeriksaan forensik dijalankan.

Mayat seorang wanita muda ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan dipercayai mengalami kecederaan teruk di bahagian muka.

Polis berkata, keadaan fizikal dan tatu pada tubuh mangsa sepadan dengan remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang itu.

Mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Hospital Polis Besar untuk pengesahan identiti dan bedah siasat.

Susulan penemuan itu, Mahkamah Wilayah Pattaya mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki berkenaan atas pertuduhan membawa keluar kanak-kanak bawah umur dari jagaan penjaga bagi tujuan tidak bermoral.

Ketika disoal siasat, suspek terus menafikan penglibatan dan mendakwa mangsa keluar dari bilik ketika dia sedang tidur.

Bagaimanapun, polis berkata mereka tidak yakin dengan penjelasan tersebut dan siasatan lanjut termasuk analisis forensik sedang dijalankan bagi menentukan sama ada pertuduhan tambahan akan dikenakan. – Agensi

Scroll to Top