Mayat terakhir tragedi perahu karam Sungai Baram ditemui

Mayat terakhir tragedi perahu karam Sungai Baram ditemui

am@hmetro.com.my

Ulu Baram: Mayat terakhir tragedi perahu karam di Sungai Baram, Long Selatong, dekat sini, Selasa lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), hari ini, sekali gus menamatkan operasi SAR yang memasuki hari ketiga.

Mayat Ceria Anak Dullah, 43, ditemui orang awam kira-kira jam 5 pagi di kawasan Long Miri, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pasukan penyelamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sejurus menerima maklumat berkenaan, pasukan SAR bergerak ke lokasi pada jam 7.50 pagi untuk proses mengeluarkan mangsa.

“Pasukan tiba di tebing sungai pada jam 11.29 pagi sebelum menggunakan bot milik penduduk untuk mengambil jasad mangsa yang ditemui terapung di sungai.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi proses pengesahan identiti sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Long Miri menjalankan proses pengesahan mangsa pada jam 12.17 tengah hari.

Beliau berkata, lokasi penemuan mayat mangsa dianggarkan sejauh 94 kilometer dari lokasi perahu karam di Long Selatong.

Katanya, dengan penemuan mangsa terakhir itu, kesemua empat mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan berjaya ditemui.

Sebelum ini, mayat Joshua Uken Mathew, 38, bersama anak lelakinya, Jovian Jangin Joshua, 4, ditemui pada hari pertama operasi, manakala mayat Jonathan Nyurang Lusut, 45, ditemukan pada hari kedua.

Operasi SAR membabitkan lima anggota BBP Marudi diketuai Komander Operasi PBK I Eric Anak Unyi dengan bantuan Unit K9 JBPM bersama anjing pengesan, AP Bella.

Turut terbabit dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta penduduk kampung yang membantu usaha pencarian sepanjang operasi dijalankan.

Operasi SAR yang bermula sejak 21 Julai lalu disahkan terkawal pada jam 11.30 pagi hari ini selepas semua mangsa berjaya ditemukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top