Enam calon kemuka hujah untuk ganti Guterres sebagai Ketua PBB

Enam calon kemuka hujah untuk ganti Guterres sebagai Ketua PBB

New York: Enam calon yang bersaing untuk menggantikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggariskan keutamaan masing-masing pada Khamis dalam debat ala televisyen di hadapan Perhimpunan Agung PBB, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Calon-calon berkenaan menjawab soalan mengenai cabaran yang dihadapi PBB, termasuk kebuntuan Majlis Keselamatan, tekanan kewangan dan peningkatan jumlah krisis antarabangsa.

Debat itu berlangsung ketika laporan yang belum disahkan bahawa Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino mungkin menyertai persaingan berkenaan mencetuskan perbincangan di ibu pejabat PBB.

Enam calon yang telah mengisytiharkan pencalonan ialah Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari Argentina Rafael Grossi, bekas Presiden Senegal Macky Sall, Setiausaha Agung Pertubuhan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) dari Costa Rica Rebeca Grynspan, Wakil Tetap Guyana ke PBB Carolyn Rodrigues Birkett, bekas Presiden Chile Michelle Bachelet dan bekas Presiden Perhimpunan Agung PBB dari Ecuador Maria Fernanda Espinosa.

Diplomat dan pemerhati PBB masih belum mengenal pasti calon yang jelas mendahului persaingan, manakala calon lain masih boleh menyertai persaingan itu.

New York Post melaporkan minggu ini bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mungkin menyokong Infantino, yang mempunyai hubungan rapat dengannya, bagi jawatan berkenaan.

Pakar PBB Richard Gowan berkata nama Infantino sudah sekian lama disebut dalam perbincangan mengenai kemungkinan calon luar bagi jawatan Setiausaha Agung PBB.

Gowan berkata walaupun AS mencalonkan warga Switzerland itu, hubungan rapat Infantino dengan Trump berkemungkinan menyebabkan China dan Rusia khususnya mempersoalkan sikap tidak berat sebelahnya, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap peluang beliau.

Majlis Keselamatan PBB terlebih dahulu akan mengesyorkan seorang calon, dengan setiap lima anggota tetapnya – China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan AS – mempunyai kuasa untuk menyekat pencalonan menerusi veto.

Perhimpunan Agung kemudian akan mengundi untuk mengesahkan calon yang disyorkan, satu langkah yang lazimnya dianggap sebagai formaliti.

Guterres dari Portugal akan berundur pada akhir tahun ini selepas berkhidmat selama dua penggal iaitu tempoh maksimum. Majlis Keselamatan dijadual mengadakan undian tidak rasmi pertamanya pada akhir bulan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top