Mayat wanita warga emas ditemui terbaring tengah jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Selangor: Mayat wanita warga emas ditemui terbaring dengan kesan cedera di kepala di Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan malam tadi.

Orang ramai yang menemui mayat wanita itu jam 8.11 malam di lokasi dengan jarak hanya 80 meter dari kediamannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa berusia 79 tahun adalah penduduk tempatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai penyakit kencing manis kronik dan menetap bersama anak menantunya.

“Mangsa berkemungkinan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah jirannya. Hasil pemeriksaan turut menemui dompet mengandungi wang tunai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan luka di kepala mayat menyebabkan pendarahan.

Tambah beliau, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh esok (1 Dis) selepas keputusan saringan Covid-19 diperolehi bagi mendapatkan punca kematian.

“Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Justeru, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin di talian 0126149580”, katanya.

 

ZA137 Malay News

National Desk