MB Pahang pakai apron, masak burger Akie

KUANTAN – Sebagai tanda sokongan kepada bakal usahawan burger di Negeri Pahang, Menteri Besar Pahang menyarung apron dan memasak daging burger di kiosk burger di perkarangan Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan negeri menerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MSTP) optimis melahirkan usahawan dalam kalangan belia dengan memperuntukkan sejumlah RM70,000 bagi membiayai yuran seramai 280 orang usahawan muda Akie Burger yang berkelayakan.

Tambah Wan Rosdy, usahawan yang terpilih hanya perlu membayar RM250 sahaja sebagai komitmen bagi menyertai Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang.

Seramai 54 usahawan burger telah berjaya menerusi Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MSTP)

“Program ini merupakan program usahasama Akie Group Sdn. Bhd. bersama MTSP yang memberi peluang kepada anak muda Pahang, bumiputera yang berumur 18 sehingga 40 tahun menjalankan perniagaan burger di bawah jenama Akie Burger.

“Program ini telah bemula Julai 2021 namun susulan wabak Covid-19 yang melanda negara ini, ianya ditangguhkan sehingga awal tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Pelancaran Program Usahwan Muda Akie Burger Pahang dengan kejasama Majlis Tindakan Sosial Pahang di sini hari ini.

Menurutnya, objektif program bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada bumiputera khususnya anak muda yang berpendapatan rendah dan sederhana ini telah menawarkan pakej menarik kepada para usahawan seperti kiosk, peralatan memasak, uniform dan bahan mentah.

Sehingga kini, Akie Burger telah berjaya melahirkan 54 orang usahawan aktif seluruh Pahang yang berkonsepkan keahlian dan sewaan dan menawarkan latihan serta bimbingan berterusan dan kit usahawan dalam memasarkan produk burger itu.

Kerajaan negeri menghargai komitmen Akie Burger sangat tinggi dalam membantu usahawan muda di negeri Pahang turut menetapkan syarat bagi penyertaan program tersebut.

“Mereka mestilah warganegara dan anak kelahiran negeri ini yang merupakan dari golongan berpendapatan B40 dan tiada pekerjaan tetap serta minat dalam bidang keusahawanan,” kata Wan Rosdy. – MalaysiaGazette