Mbappe tak percaya permohonan maaf Giroud

Mbappe tak percaya permohonan maaf Giroud

LONDON: Kylian Mbappe dilaporkan tidak percaya dengan permohonan maaf Olivier Giroud selepas penyerang Chelsea itu mengkritik persembahannya ketika kemenangan 3-0 Perancis ke atas Bulgaria, kelmarin.

Giroud yang meledak dua gol pada aksi persahabatan itu meluahkan kekecewaannya selepas kurang mendapat hantaran daripada rakan sepasukannya.

Menurut RMC Sport, Mbappe begitu berang dengan komen Giroud sehingga dia mahu mengadakan sidang media namun ditolak oleh pengurus Perancis, Didier Deschamps.

Media itu kini mendakwa Giroud cuba berbaik dengan Mbappe pada sesi latihan namun bintang Paris Saint Germain itu tampak terus tidak selesa.

Giroud mengakui komen terbabit ditujukan kepada semua orang dan tidak semestinya kepada Mbappe semata-mata.

Deschamps dilaporkan mengadakan pertemuan antara kedua-dua pemain itu bagi menyelesaikan situasi terbabit dengan dia mengambil serius sekiranya insiden itu menjejaskan persiapan mereka di Kejuaraan Eropah.

Dia juga mengadakan pertemuan dengan semua pemain dan mengatakan untuk melupakan perkara terbabit namun perasaan tidak selesa masih lagi dapat dirasakan antara kedua-dua pemain terbabit.

Selepas pertemuan itu, Giroud dikatakan cuba memeluk Mbappe selepas melakukan dua hantaran kepadanya dalam sesi latihan.

Namun, ‘mood’ pemain berusia 22 tahun itu masih tidak baik dan ketegangan tetap wujud antara kedua-dua pemain itu. -Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top