Mbappe terus berbisa, Perancis hampiri Piala Dunia

Mbappe terus berbisa, Perancis hampiri Piala Dunia

Paris: Perancis semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia tahun depan selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Azerbaijan dalam aksi Kumpulan D di Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi, hasil jaringan Kylian Mbappe, Adrien Rabiot dan Florian Thauvin.

Kemenangan itu mengekalkan Perancis di tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, lima mata di hadapan Ukraine yang menewaskan Iceland 5-3.

Skuad kendalian Didier Deschamps akan mengesahkan tiket ke Amerika sekiranya mereka menang di Iceland, Selasa ini dan Ukraine gagal menewaskan Azerbaijan.

“Saya tidak akan terlalu gembira, kami menang dan menjaringkan tiga gol, tapi kami sepatutnya boleh dapat lebih banyak gol lagi,” kata jurulatih, Didier Deschamps yang turut berada dalam pasukan ketika membelasah Azerbaijan 10-0 semasa kedua-dua pasukan bertemu pada 1995.

“Ia tiga mata tambahan tetapi mungkin bukan dengan cara yang kami mahukan. Apa pun, tugas sudah diselesaikan. Selasa nanti perlawanan berbeza, dalam suasana berbeza,” katanya lagi.

Dengan penyerang Liverpool, Hugo Ekitike diberi peluang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama, Perancis tampil dengan barisan serangan mantap, namun gagal mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama yang hambar sehinggalah Mbappe membuka jaringan pada masa kecederaan babak pertama.

Kapten Perancis itu menerima bola di luar kotak penalti, melepasi satu terjahan sebelum melepaskan rembatan rendah yang menembusi pertahanan dan menewaskan penjaga gol, Shakhruddin Magomedaliyev.

Itu adalah perlawanan ke-10 berturut-turut di mana Mbappe menjaringkan gol untuk kelab dan negara. Ia juga gol ke-53 dijaringkannya bersama skuad kebangsaan, hanya empat jaringan di belakang rekod Olivier Giroud.

Adrien Rabiot menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-69 selepas menanduk rendah ke penjuru gol lawan.

Enam minit sebelum tamat, Florian Thauvin yang membuat penampilan pertama sejak 2019, menamatkan perlawanan dengan bergaya.

Hanya seminit selepas menggantikan Mbappe, penyerang Lens itu menerima bola di dalam kotak penalti melepaskan voli deras yang gagal diselamatkan Magomedaliyev.

“Ia sesuatu yang luar biasa, saya sudah lama impikan untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan Perancis. Saya berjanji pada diri sendiri, jika diberi peluang walau beberapa minit, saya akan berikan segalanya,” kata Thauvin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top