am@hmetro.com.my
Georgetown: Enam premis perniagaan dikendali warga asing diarah tutup serta-merta dan disita Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini, kerana tidak patuh syarat dan peraturan pelesenan.
MBPP dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan itu diambil menerusi Op Tegas pada Jumaat lalu, ke atas premis perniagaan di sekitar Gat Lebuh Macallum, Jalan Magazine dan Jalan Tun Dr Awang.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan terbabit dengan aktiviti perniagaan dikendali warga asing, serta tidak mematuhi syarat dan peraturan pelesenan ditetapkan oleh MBPP.
“Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil termasuk arahan penutupan dan penyitaan premis (sealed-off), rampasan peralatan perniagaan serta tindakan penurunan papan iklan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu, malam tadi.
Antara barangan yang disita termasuk papan iklan melintang, penimbang digital, pisau, kayu pemotong, gergaji mudah alih, rak besi serta peralatan gunting rambut.
Selain itu, barangan mudah rosak iaitu ikan segar, dilupus serta-merta, mengikut tindakan penguatkuasaan.
Menurut MBPP lagi, tindakan turut diambil terhadap papan iklan premis yang didapati tidak mematuhi ketetapan pihak Majlis.
“Operasi ini dilaksana berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memberi kuasa kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) bagi mengambil tindakan yang perlu bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesenangan awam.
“Kesemua premis yang dikenakan tindakan diserah Notifikasi Pemberitahuan Bertulis dan diarah supaya tidak membuka atau merosakkan pita penghadang serta pengedap (seal) yang dipasang.” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




