MBSB Bank sasar peningkatan 20 peratus jumlah pemegang CASA-i Prime Win

MBSB Bank sasar peningkatan 20 peratus jumlah pemegang CASA-i Prime Win

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: MBSB Bank, optimis untuk mencapai peningkatan 20 peratus dalam jumlah pemegang Akaun Semasa/Akaun Simpanan-i (CASA-i) Prime Win tahun ini disokong dengan pelancaran kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 4.0 (SBMB 4.0).

Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse berkata, ketika ini pihaknya memiliki kira-kira 200,000 pemegang CASA-i Prime Win.

Katanya, SBMB 4.0 bukan sekadar ganjaran, tetapi ia memperkasakan pelanggan untuk menyimpan dengan bijak, menetapkan matlamat yang lebih tinggi dan mencapai impian.

“Kempen ini mencerminkan komitmen MBSB Bank untuk memberikan nilai dan mengubah kehidupan melalui disiplin kewangan.

“Tahun ini kami memperuntukkan hadiah bernilai RM2 juta dengan menawarkan hadiah utama BYD Sealion 7 dan lima unit Proton e.MAS 7,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran SBMB 4.0 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MBSB Bank, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Rafe Haneef.

Usman berkata, pelanggan juga berpeluang memenangi percutian mewah ke Scandinavia untuk dua orang dalam Kelas Perniagaan dan pakej ubah suai rumah bernilai keseluruhan sehingga RM350,000, menjadikan SBMB 4.0, antara kempen simpanan paling menarik di negara ini.

Menerusi SBMB 4.0, pelanggan memiliki masa sehingga 31 Disember 2025 untuk menyimpan dengan lebih bijak dan merebut ganjaran luar biasa.

Antara inisiatif utama MBSB Bank menerusi SBMB 4.0 ialah menawarkan ganjaran pelanggan ke tahap baharu dengan hadiah luar biasa yang ditawarkan khas untuk mencetus inspirasi dan mengubah kehidupan pelanggan.

Untuk menyertai kempen menarik itu, pelanggan hanya perlu mempunyai atau membuka CASA-i Prime Win dengan deposit minimum RM200.

Selain pelancaran, MBSB turut menyampaikan hadiah suku akhir kempen SBMB 3.0 yang menyaksikan hadiah utama sebuah kereta mewah Porsche Macan diserahkan kepada pemenang bertuah dari Kuala Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top