JOHOR BAHRU – MCA menyokong sepenuhnya keputusan Barisan Nasional (BN) Johor bergerak secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai langkah terbaik BN khususnya di negeri ini.
Menurutnya, jentera MCA sudah bersiap siaga dalam merangka strategi berkesan bagi memastikan BN kekal mempertahankan Johor dengan kemenangan besar pada PRN kali ini.
“Keputusan Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk bergerak solo dengan bertanding di semua 56 kerusi dalam PRN Johor merupakan satu keputusan terbaik dan disokong sepenuhnya.
“MCA sebagai parti komponen yang turut bermusyawarah dalam mencapai konsensus ini berdiri teguh serta menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau yang terbukti berjaya memimpin BN Johor dengan baik dan mentadbir negeri Johor dengan sangat cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, keputusan dibuat Onn Hafiz itu merupakan satu langkah yang berani, tepat dan berpandangan jauh.
Katanya, seluruh kepimpinan dan jentera MCA Johor akan memberi komitmen penuh bagi memastikan BN terus menerajui Johor dengan stabil serta merealisasikan sasaran menjadikan Johor negeri maju menjelang tahun 2030.
“Sejak membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga pada t2022, Johor telah mencatat prestasi ekonomi cemerlang hasil kestabilan politik yang dinikmati negeri ini sekali gus mencipta rekod menarik pelaburan berjumlah RM110 bilion, tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.



