MCMC saman Sunway Lagoon RM1.8 juta, dakwaan keracunan makanan ketika hari keluarga

MCMC saman Sunway Lagoon RM1.8 juta, dakwaan keracunan makanan ketika hari keluarga

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman terhadap Sunway Lagoon Sdn Bhd, menuntut lebih RM1,819,800 sebagai ganti rugi berhubung insiden keracunan makanan yang didakwa berlaku dalam kalangan peserta semasa program hari keluarga di taman tema air itu tahun lalu.

Pengawal selia komunikasi dan multimedia itu memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Januari.

Menurut penyataan tuntutan MCMC, suruhanjaya itu melantik Sunway Lagoon untuk menganjurkan acara itu pada 4 Oktober, yang dihadiri lebih 5,800 tetamu.

Ia membabitkan kakitangan MCMC dan ahli keluarga mereka, wakil Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures Sdn Bhd bersama keluarga masing-masing.

Makanan dan minuman dari luar tidak dibenarkan sepanjang acara berlangsung.

“Semasa Hari Keluarga itu, seorang pekerja pihak plaintif (MCMC) secara lisan melaporkan kepada wakil pihak defendan (Sunway Lagoon) salah satu hidangan makan tengah hari yang disajikan berbau busuk dan rasa masam.

“Namun, tiada tindakan diambil oleh pihak defendan.

“Dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas acara itu, pihak plaintif menerima laporan daripada peserta termasuk kakitangan MCMC, ahli keluarga serta kanak-kanak yang mengalami simptom seperti cirit-birit akut, sakit perut, muntah dan demam sejurus selepas acara tamat.

“Lebih 870 peserta terjejas,” menurut dokumen itu.

Pada 6 Oktober, MCMC membuat laporan polis di Balai Polis Cyberjaya serta melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling yang kemudian mengeluarkan notis penutupan terhadap bahagian makanan dan minuman taman tema itu bermula 7 hingga 21 Oktober bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman.

Pada 7 November, Jabatan Kesihatan Selangor dalam kenyataan media memaklumkan dapatan awal mendapati kira-kira 322 orang mengalami simptom cirit-birit, muntah dan sakit perut, namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi dan tiada kematian dilaporkan.

Jabatan itu berkata siasatan lanjut mendapati kejadian itu antara lain berpunca daripada pencemaran makanan, penyimpanan makanan yang dimasak terlalu lama sebelum dihidangkan serta pencemaran di dapur taman tema berkenaan.

MCMC berhujah bahawa kesan kesihatan yang dialami adalah akibat langsung daripada perkara yang berada di bawah kawalan dan tanggungjawab pihak defendan, sekali gus menyebabkan tekanan dan ketidakselesaan kepada para peserta.

MCMC mendakwa Sunway Lagoon gagal memastikan pematuhan ketat terhadap standard keselamatan makanan, kebersihan dan sanitasi serta makanan yang disediakan tidak memenuhi kualiti yang selamat untuk dimakan.

MCMC berkata ia mengalami kerugian dan kerosakan kerana insiden itu berlaku di premis di bawah kawalan Sunway Lagoon, selain jumlah individu terjejas yang ramai serta jarak masa yang rapat antara acara dan kemunculan simptom, yang membawa kepada inferens kecuaian.

Ia turut menyatakan kehadiran tetamu termasuk menteri menambah kesan kepada reputasi serta rasa malu dan penghinaan yang dialami.

Selain menuntut semula jumlah kontrak RM1,819,800, MCMC turut menuntut RM30,339.75 bagi perbelanjaan perubatan sebagai ganti rugi khas serta ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dalam pembelaannya, Sunway Lagoon berkata insiden yang didakwa tidak berlaku di premisnya atau semasa acara berlangsung, sebaliknya selepas acara tamat.

Ia juga menyatakan tiada bukti kukuh yang mengaitkan insiden itu dengan sebarang tindakan atau kecuaian pihak mereka.

Sunway Lagoon berhujah dakwaan MCMC adalah bersifat andaian dan gagal membuktikan kaitan punca bahawa makanan itu tercemar di sumber asal atau semasa dalam kawalan mereka.

Ia berkata makanan disediakan mengikut prosedur operasi standard dan tiada penyimpangan dalam proses penyimpanan, penyediaan serta hidangan makanan.

Mereka turut menyatakan tiga sampel makanan yang diuji berada dalam tahap selamat yang ditetapkan.

Sunway Lagoon menegaskan MCMC tidak berhak menuntut jumlah kontrak penuh kerana tuntutan itu tidak berasas, berlebihan dan tidak disokong bukti kukuh, malah didakwa cuba mendapatkan keuntungan kewangan tidak wajar.

Sebagai jawapan balas, MCMC mengekalkan makanan yang dihidangkan telah tercemar ketika masih di bawah kawalan Sunway Lagoon sebelum diedarkan.

“Penyediaan, penyimpanan atau pengendalian yang tidak mencukupi oleh defendan telah menyebabkan makanan tersebut tercemar,” katanya.

MCMC diwakili firma guaman Sreenevasan manakala Sunway Lagoon diwakili firma Azim, Tunku Farik & Wong.

Pengurusan kes ditetapkan pada 29 April.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top