MCMC Teliti Aduan Akaun WhatsApp Digodam Dan Disekat, Kes Sudah Dibawa Kepada Meta

MCMC Teliti Aduan Akaun WhatsApp Digodam Dan Disekat, Kes Sudah Dibawa Kepada Meta

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai susulan isu akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi boleh diakses.

Kes berkaitan perkara itu juga sudah dikemukakan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan selanjutnya.

MCMC menjelaskan, pengambilalihan atau penggodaman akaun dan tindakan menyekat akaun sebenarnya merupakan dua perkara berbeza.

“Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform,” menurut MCMC.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan pengguna yang berdepan masalah berkenaan menggunakan saluran rasmi WhatsApp bagi tujuan pemulihan atau semakan akaun.

“MCMC akan terus memantau perkara ini dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Pengguna yang terjejas dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama, MCMC mengingatkan pengguna supaya tidak sesekali berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan dengan pihak lain.

MCMC turut menyarankan pengguna mengaktifkan fungsi Pengesahan Dua Langkah (Two-Step Verification) serta mengelakkan daripada menekan pautan atau memuat turun aplikasi mencurigakan.

Orang ramai juga diminta berwaspada dengan pihak luar yang menawarkan khidmat memulihkan akaun WhatsApp dengan mengenakan bayaran atau meminta maklumat peribadi dan kod pengesahan.

Jelas kenyataan itu, sekiranya masalah masih gagal diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh membuat aduan kepada MCMC bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta,” tegas suruhanjaya itu.


Scroll to Top