am@hmetro.com.my
Kluang: Remaja lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan methampethamin seberat 25.951 kilogram.
Tertuduh, Nanda Afrizal, 19, yang bekerja sebagai buruh binaan, hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurasidah A Rahman.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut tuduhan pertama dan kedua, Nanda didakwa mengedar heroin dan methampethamin, masing-masing seberat 17,842 gram dan 8,109 gram, di sebuah rumah di Jalan Delima, Taman Lian Seng di sini, jam 3 petang, 13 September lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Bagi tuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) akta sama kerana memiliki methampethamin seberat 5.25g.
Dia juga mengaku salah tinggal di Malaysia melebihi masa, mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, dan dipenjara lapan bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh diwakili tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 November ini untuk sebutan laporan kimia.
Berdasarkan laporan, polis menyerbu sebuah rumah dan menahan remaja lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga stor penyimpanan dadah, Ahad lalu.
Dalam serbuan itu, sebanyak 25.95 kilogram dadah dirampas dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.29 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd


