lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini bahawa dia pernah melihat kandungan e-mel dokumen sulit milik PETRONAS dihantar kepada dua pegawai atasan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Pengurus Bahagian Sumber Manusia PETRONAS Suhaidah Labu, 42, berkata, beliau terlihat e-mel yang didakwa dihantar oleh bekas Pengurus PETRONAS Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETROS Datuk Janin Girie dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) PETROS Azha Jalil Abdul Jalil.
Menurut saksi pendakwaan keenam itu, kandungan e-mel berkenaan antaranya mengandungi laporan prestasi operasi dan kewangan suku pertama tahun 2024 bertarikh 10 Mei 2024.
Beliau berkata, e-mel itu dikemukakan oleh Pegawai Perhubungan Industri PETRONAS Jumsuri Basri dan Zatil ‘Ismah Azmi kepadanya pada 6 Disember 2024.
“Mereka menghubungi saya bagi mendapatkan pengesahan sama ada Mohd Khairul Akmal sudah meletakkan jawatan atau tidak.
“Hal ini kerana, dalam e-mel itu, Mohd Khairul Akmal menyatakan ‘I look forward to joining your team’ (Saya teruja untuk menyertai pasukan anda).
“Setelah saya menyemak rekod beliau dalam sistem, didapati tiada rekod peletakan jawatan dan beliau masih kakitangan aktif PETRONAS (pada 6 Disember 2024),” katanya.
Suhaidah berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit PETRONAS kepada PETROS pada Jun 2024.
Saksi itu berkata, sepanjang perkhidmatannya, Mohd Khairul Akmal menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan dikategorikan sebagai ‘Top Talent’ dalam kewangan PETRONAS.
“Mohd Khairul Akmal juga mempunyai pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi nilai minyak dan gas serta rantaian nilai gas.
“Gaji sebanyak RM15,000 yang diterima oleh Mohd Khairul Akmal adalah berdasarkan prinsip Ekuiti Dalaman PETRONAS bagi jawatan pengurus.
“Bagaimanapun, beliau pernah menyuarakan secara lisan hasrat untuk dipindahkan ke Sarawak memandangkan keluarganya menetap di sana,” katanya.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela mewakili tertuduh, Louis Liaw Vern Xien, saksi itu mengakui beliau tidak pasti siapa yang menulis dan menghantar e-mel mengandungi dokumen sulit terbabit kepada CEO dan CFO PETROS.
Louis: Selepas puan memaklumkan kepada Jumsuri bahawa Khairul (tertuduh) tidak ada rekod peletakan jawatan, kemudian siasatan lanjut berkenaan siapa yang hantar e-mel tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jumsuri, betul?
Suhaidah: Benar.
Louis: Puan tidak membuka komputer riba selepas itu untuk menyemak sama ada e-mel tersebut ada dihantar oleh Khairul, betul?
Suhaidah: Tidak.
Louis: Maknanya apabila puan menyatakan dalam pernyataan saksi bahawa (e-mel) ‘dihantar oleh Khairul kepada Datuk Janin Girie dan Azha Jalil’, itu puan mengatakan berdasarkan e-mel yang boleh dilihat dalam eksibit, betul?
Suhaidah: Benar, berdasarkan bukti yang diutarakan ini.
Louis: Jadi puan lihat e-mel itu dan membuat kesimpulan bahawa ia dihantar oleh Khairul kepada Janin Girie dan Azha Jalil, betul?
Suhaidah: Benar, berdasarkan e-mel ini.
Louis: Siapa yang sebenarnya yang menulis e-mel dan selepas itu menekan ‘send’. Itu puan tidak tahu?
Suhaidah: Ya benar, saya tidak pasti.
Pada 18 April tahun lalu, Mohd Khairul Akmal, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan PETRONAS kepada PETROS, Jun 2024.
Tertuduh didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk ‘Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial’ kepada PETROS, iaitu dokumen berkenaan diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan PETRONAS, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 18 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd


