am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerjasama strategik antara media dan Bukit Aman perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian laporan kepada masyarakat dibuat dengan pantas, tepat serta berasaskan maklumat sahih.
Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad (Media Prima), Jasbanth Singh berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan cabaran dan kekangan yang dihadapi kedua-dua pihak dapat dikenal pasti serta ditangani secara bersama.
“Kami harapkan program ini akan membawa kepada kolaborasi strategik yang lebih kukuh antara pihak media dengan Bukit Aman.
“Ini tentunya untuk membolehkan segala jenis laporan dapat disampaikan dengan tepat dan pantas, paling penting dengan maklumat yang sahih,” katanya pada Program Kolaborasi Komunikasi Strategik PDRM dan Media Prima, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Asisten Komisioner (K) Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Farrah Naz Abdul Karim.
Jasbanth berkata demikian ketika mengulas kepentingan program berkenaan dalam usaha memperkukuh hubungan antara organisasi media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kerjasama lebih erat antara media dan Bukit Aman juga membolehkan kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan cabaran serta kekangan dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Kami ingin memperkukuhkan kerjasama dengan Bukit Aman dalam aspek ini dan program hari ini memungkinkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran dan kekangan untuk sama-sama kita tangani.
“Ini bagi memastikan kolaborasi strategik itu menjadi kenyataan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
