hafidzul@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Media Prima Berhad (Media Prima) memperkukuh kerjasama strategik menerusi penganjuran Program Kolaborasi Komunikasi Strategik PDRM dan Media Prima bagi meningkatkan kefahaman dua hala serta membendung penularan berita palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM memandang serius jalinan kerjasama dengan rakan media yang dianggap sebagai “mata dan telinga” masyarakat, manakala polis bertindak sebagai benteng kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, ketelusan dan ketepatan penyampaian maklumat adalah kunci utama dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman siber yang semakin kompleks.
“Dalam mendepani ancaman jenayah moden dan cabaran siber yang semakin kompleks, sinergi antara media dan pihak berkuasa adalah satu keperluan yang tidak boleh dikompromi. Kita tidak boleh bekerja secara silo.
“Menerusi program ini, warga PDRM dapat memahami realiti dunia media yang serba pantas, manakala rakan media juga lebih memahami cabaran serta prosedur ketat yang perlu dipatuhi polis dalam mengendalikan kes sensitif dan maklumat keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup program berkenaan di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Asisten Komisioner (K) Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Farrah Naz Abdul Karim.
Program yang bermula sejak tengah hari itu sarat dengan pengisian bermakna, dimulakan dengan taklimat Pengenalan Operasi Media Prima Berhad.
Ia disusuli dua sesi forum interaktif yang dikendalikan wartawan penyampaian TV3, Nur Farah Nabilah Mohammad Wazer.
Forum pertama bertajuk ‘PDRM & Media Saling Melengkapi’ menampilkan panel iaitu Jasbant Singh, Farrah Naz dan Pengarang Berita TV3. Ing Boon Seng.
Manakala Forum kedua mengupas ‘Perkongsian Wartawan Lapangan’ yang dibentangkan oleh panel wartawan berpengalaman iaitu Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Safeek Affendy Razali dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor, sebelum diakhiri dengan sesi simulasi sidang media.
Sementara itu, Syed Hussian menegaskan komitmen berterusan Media Prima untuk kekal sebagai rakan strategik teras PDRM dalam memperkasakan naratif keselamatan awam.
Katanya, Media Prima sentiasa bersedia menyumbang kepakaran dan bantuan dari segi latihan, hebahan maklumat mahupun sokongan media bagi memudah cara tugas pasukan polis pada bila-bila masa.
“Melalui pendedahan ini, rakan-rakan di PDRM dapat menyelami sudut pandang pengamal media, manakala pihak media pula lebih memahami kekangan, ketelitian serta prosedur perundangan yang dipatuhi pihak polis.
“Media Prima komited untuk memastikan setiap usaha PDRM dalam mengekalkan undang-undang dan ketenteraman negara disampaikan secara tepat, telus dan berkesan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut berharap platform kolaboratif dan penganjuran program latihan seumpama itu dapat diteruskan secara demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
