Media Sepanyol belasah Argentina hilang semangat kesukanan

Media Sepanyol belasah Argentina hilang semangat kesukanan

New Jersey: Media Sepanyol mengecam tindakan tidak bersemangat kesukanan dipamerkan skuad Argentina selepas kekalahan dalam final Piala Dunia 2026 apabila mereka membelakangi pentas ketika Sepanyol menjulang trofi kejuaraan.

Pada aksi di Stadium MetLife, New Jersey, Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan hasil jaringan kaki kiri Ferran Torres.

Selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pemain Argentina tidak kekal di hadapan pentas untuk menyaksikan Sepanyol mengangkat trofi, sekali gus melanggar tradisi sukan yang lazim diamalkan.

Sebaliknya, keseluruhan skuad bersama barisan kejurulatihan berjalan ke arah tempat duduk penyokong mereka dan membelakangi pentas penyampaian hadiah.

Rakaman siaran langsung menunjukkan ketika pemain Sepanyol meraikan kejuaraan dengan trofi Piala Dunia, seluruh pasukan Argentina berdiri menghadap ke arah bertentangan.

Lebih mencuri perhatian, pemain Sepanyol terlebih dahulu memberikan penghormatan kepada skuad Argentina ketika mereka naik menerima pingat naib juara.

Tindakan Argentina itu mengundang kecaman hebat media Sepanyol. Akhbar AS menyifatkannya sebagai sesuatu yang sukar diterima kerana dianggap menunjukkan rasa tidak hormat terhadap juara dunia.

“Pengakhiran suram final Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol menjadi lebih sukar diterima apabila pemain Argentina membelakangi lawan ketika mereka menjulang trofi.”

AS turut menyatakan Argentina mengabaikan salah satu etika tidak bertulis bagi pasukan naib juara, iaitu kekal di atas padang dan menghormati detik penobatan juara.

Sementara itu, akhbar Marca melabel tindakan berkenaan sebagai memalukan dunia. Penulisnya, Juan Ignacio Gallardo, menyifatkan ia sebagai antara perkara paling menjijikkan pernah disaksikan dalam sejarah Piala Dunia.”

Gallardo menuduh Argentina mencemari nilai kesukanan dan mengotorkan maruah tiga bintang pada lencana mereka yang melambangkan tiga kejuaraan dunia.

“Sebelum perlawanan ramai tertanya-tanya mengapa peminat dari seluruh dunia menyokong Sepanyol dan bukannya Argentina. Kini kita tahu sebabnya,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, ketika kapten Sepanyol, Rodri menerima anugerah Bola Emas kejohanan, penyokong Argentina pula melaungkan nama Lionel Messi.

Penyampai radio talkSPORT, Adrian Durham, turut mengkritik tindakan itu.

“Mereka langsung tidak menunjukkan kelas. Apa yang dipamerkan hari ini amat memalukan. Mereka langsung tidak boleh menerima hakikat bahawa Argentina tewas di final Piala Dunia.”

Argentina turut menerima kecaman kerana aksi keras sepanjang perlawanan dengan beberapa terjahan berbahaya.

Enzo Fernandez dilayangkan kad merah pada penghujung babak kedua selepas terjahan keras terhadap Pau Cubarsi, memaksa Argentina mengharungi masa tambahan dengan 10 pemain.

Selepas wisel penamat, kekecohan berterusan apabila Leandro Paredes turut dibuang padang kerana menolak dua pemain Sepanyol dalam satu insiden pergaduhan.

Sebelum perlawanan, pertahanan veteran Argentina, Nicolas Otamendi, juga mencetuskan kontroversi apabila menuduh Rodri dan Aymeric Laporte “merengek selama seminggu” bagi mempengaruhi keputusan pengadil.

Menurut Marca, Argentina cuba menutup kelemahan taktikal dan teknikal mereka dengan corak permainan yang terlalu agresif.

Akhbar itu mendakwa skuad Amerika Selatan berulang kali menggunakan provokasi, kekasaran, siku berlebihan, lakonan dan pelbagai helah bagi mengganggu rentak pemain Sepanyol.

Pengadil perlawanan turut dikritik kerana dianggap terlalu bertolak ansur apabila beberapa pemain Argentina yang melakukan kekasaran serius tidak dikenakan kad merah.

Majlis penyampaian trofi turut menjadi perhatian apabila Donald Trump kekal berdiri di atas pentas bersama pemain Sepanyol selepas menyerahkan trofi kepada Rodri, berbeza dengan kebiasaan protokol yang memerlukan tetamu kehormat berundur sebelum detik sambutan kejuaraan.

Menurut The Guardian, walaupun Gianni Infantino dilihat memberi isyarat supaya Trump meninggalkan pentas sebelum trofi dijulang, Presiden Amerika Syarikat itu terus berada bersama pemain ketika konfeti dilepaskan.

Kehadiran Trump dan Infantino di padang untuk majlis penyampaian pingat turut disambut dengan sorakan boo daripada sebahagian penonton di Stadium MetLife.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top