am@hmetro.com.my
Gua Musang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memindahkan empat ekor gajah liar dalam operasi selama dua hari di Kampung Lalang, Kuala Betis, di sini, bermula semalam.
Pada operasi hari pertama, seekor gajah liar betina diberi nama ‘Mek tie’ dan anaknya gajah jantan yang bernama ‘Anak Ouk’ berjaya dipindahkan dalam operasi bermula jam 3 petang semalam.
Manakala pada operasi hari ini, dua lagi gajah betina diberi nama ‘Mek Mas’ dan ‘Mek Leha’ yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 25 tahun berjaya dipindahkan ke habitat asal.
Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Pulai, Mohamad Zainuddin Busrah, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada pada 20 Julai lalu tentang ganguan gajah di penempatan terbabit.
Katanya operasi bermula 24 Julai dan berjaya menangkap seekor gajah betina pada 27 Julai dan seterusnya empat ekor pada 31 Julai.
“Tangkapan ini membabitkan empat ekor gajah betina dan seekor anak gajah jantan. Alhamdulillah gajah betina bersama anaknya dengan masing-masing dianggarkan seberat dua tan dan 0.8 tan sudah berjaya dipindahkan ke habitat asal.
“Manakala pada hari ini dua ekor lagi gajah betina yang masing-masing mempunyai saiz tapak 15 inci dan 14 inci berjaya dipindahkan. Usia kedua-dua gajah ini dianggarkan di antara 20 hingga 25 tahun.
“Operasi hari ini turut dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Cheri dan Rambai untuk menunjuk gajah liar ini,” katanya ketika ditemui selepas operasi translokasi di Kampung Lalang, Kuala Betis.
Mohamad Zainuddin berkata operasi terbabit membabitkan 26 anggota daripada PERHILITAN Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan PERHILITAN Terengganu.
Katanya operasi pemindahan gajah terbabit akan diteruskan pada esok apabila terdapat seekor lagi gajah betina liar yang berjaya ditangkap di kawasan itu.
“Esok operasi akan diteruskan lagi pada hari esok untuk memindahkan seekor lagi gajah liar betina ke habitat asal mereka. Jadi keseluruhan operasi kami di sini adalah selama tiga hari yang membabitkan empat gajah liar betina dan seekor anak gajah jantan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Betis, Abdul Hadi Mat Zin, 40, berkata pemindahan lima ekor gajah terbabit melegakan penduduk kampung di kawasan itu yang berdepan gangguan gajah liar sejak sebulan lalu.
Katanya, kemunculan kawanan gajah yang berkeliaran di kawasan penempatan dan merosakkan tanaman sangat membimbangkan penduduk di kawasan itu.
“Alhamdulillah akhirnya kami penduduk di sini sedikit lega apabila gajah yang berkeliaran di kawasan kampung sudah ditangkap dan dipindahkan. Sejak sebulan lalu sudah ramai penduduk yang terserempak dengan gajah liar terbabit ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.
“Terima Kasih kepada pihak PERHILITAN dengan tindakan pantas mereka yang menangkap gajah liar terbabit selepas aduan dibuat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




