audreymd@nst.com.my
Bukit Mertajam: Mekanik berusia 43 tahun cedera di tapak tangan kanannya selepas ditembak di sebuah bengkel kereta di Jalan Sungai Lembu di sini, hari ini.
Sekurang-kurangnya tiga das tembakan dilepaskan ke arah mangsa dalam kejadian pada 1.45 tengah hari itu.
Mangsa dilaporkan didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal ketika berada di bengkel sebelum mereka melepaskan tembakan.
Dia kemudian berlari kira-kira 50 meter dari bengkel tersebut dan melompat pagar yang bertentangan dengan tanah perkuburan Cina untuk melarikan diri.
Difahamkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kulim di Kedah sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Polis sedang menyiasat motif kejadian dan berkata, mangsa mempunyai rekod jenayah lampau.
Terdahulu, polis dan anggota forensik menemui peluru dan kelongsong terpakai di tempat kejadian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


