Tular lebuh raya KESAS dilitupi 'salji'

Kuala Lumpur: Kilometer 30.5 arah Timur (Susur Ramp A Kota Kemuning), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hari ini diliputi ‘salji’ dipercayai akibat tumpahan cecair.

Keadaan itu turut menyebabkan aliran trafik di lokasi perlahan dan mengalami kesesakan pada 4.27 petang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam perkongsian di aplikasi X memaklumkan tumpahan cecair itu menyebabkan laluan lorong kiri terhalang dan trafik bergerak perlahan.

Hantaran berkenaan turut meminta pengguna memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan petugas di lokasi.

Terdahulu, gambar dan video memaparkan laluan berkenaan dipenuhi cecair berwarna putih yang turut kelihatan seolah-olah salji tular di media sosial yang menarik perhatian warganet.

Seorang pengguna Threads yang berkongsi hantaran gambar dan video keadaan di lokasi meminta penunggang motosikal berhati-hati dan mengikut laluan motosikal.

Hantaran itu turut meminta pengguna lebuh raya yang menggunakan lalaun KESAS arah ke Puchong/Shah Alam berhati-hati kerana didakwa jalan licin.

Bagaimanapun setakat ini, jenis cecair yang tumpah itu serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top