Pemimpin pembangkang Israel, isteri Netanyahu saling menyaman


BAITULMUQADDIS: Sara Netanyahu, isteri Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Yair Golan, pemimpin parti Demokrat yang menjadi pembangkang, masing-masing telah memfailkan saman fitnah terhadap satu sama lain susulan kenyataan Sara mengenai peristiwa 7 Oktober 2023.

Menurut laporan The Jerusalem Post, pertikaian itu menarik perhatian kepada persoalan mengapa Netanyahu tidak diberitahu ketika rundingan antara pegawai keselamatan diadakan pada waktu malam sebelum serangan Hamas bermula di selatan Israel.

Dalam satu temu bual dengan Channel 14, Sara menyebut bahawa Golan berada di selatan Israel dengan memakai seragam tentera pada awal pagi 7 Oktober yang kemudian mencetuskan serangan Israel ke atas Gaza. 

Beliau berkata, Golan bersedia untuk bertindak ketika orang lain, termasuk perdana menteri didakwa masih tidak mengetahui keadaan yang berlaku

Akhbar itu menyatakan bahawa kata-kata Sara boleh ditafsirkan sebagai sindiran bahawa Golan telah mengetahui mengenai serangan tersebut terlebih dahulu. 

Golan sendiri menuju ke selatan negara itu selepas serangan bermula untuk membantu orang ramai. 

Beliau memfailkan saman fitnah terhadap isteri perdana menteri itu dengan mendakwa penyebaran dakwaan konspirasi, manakala Sara memfailkan saman balas.

Sementara itu, Netanyahu berkata selepas temu bual isterinya itu bahawa beliau tidak menganggap peristiwa Hamas menyerang selatan Israel sebagai hasil daripada satu pengkhianatan oleh pegawai-pegawai kanan rejim Zionis .

Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai satu kegagalan besar. 

Menurutnya, sekitar jam 3 pagi waktu tempatan, beberapa jam sebelum serangan bermula pada 6.29 pagi waktu tempatan, satu mesyuarat melibatkan pegawai kanan keselamatan telah diadakan, tetapi beliau tidak dibangunkan daripada tidur.

Perdana Menteri itu mendakwa ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF), perkhidmatan keselamatan Shin Bet dan perisikan tentera ketika itu menyedari terdapat  tanda-tanda amaran yang dicetuskan Hamas. 

Menurut versinya, pegawai-pegawai keselamatan dalam perbincangan tersebut menganggap Hamas sudah berjaya dibendung dan bimbang langkah berskala besar boleh mencetuskan peningkatan ketegangan yang tidak perlu. – AGENSI

 

Scroll to Top